Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak boleh hadkan skop perbincangan di parlimen, kata peguam

Seorang pengamal perundangan berpandangan, anggota parlimen tidak boleh dihalang daripada berbahas isu politik semasa bersidang dalam Dewan Rakyat.

Justeru, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata anggota parlimen tidak boleh diminta mengunci mulut bagi mempersoalkan urusan politik negara termasuk mengenai keabsahan kerajaan.

“Dari segi perundangan, tidak boleh halang apa-apa yang ingin dibincang dalam sidang parlimen kerana ia adalah gedung rakyat dan rakyat bercakap melalui anggota parlimen mereka.

“Jadi kalau ada isu (termasuk) tentang keabsahan atau kekurangan majoriti ahli parlimen dalam kerajaan, perlu dibahas dalam sidang Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Muhammad Rafique berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemerhati politik, Azmi Hassan, yang berkata pembukaan sidangan parlimen akan menjadi masalah sekiranya wakil rakyat menggunakannya untuk menekan kerajaan yang didakwa sudah hilang majoriti.

Malah Azmi berpendapat anggota parlimen wajar mengemukakan aku janji untuk tidak membahas soal isu keabsahan kerajaan Perikatan Nasional yang kini dipertikaikan ekoran pemimpinnya, Muhyiddin Yassin, sudah kehilangan dukungan majoriti.

Bekas pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Jeniri Amir, turut berpendapat persidangan parlimen boleh diadakan sekiranya wakil rakyat fokus untuk hanya membahaskan lima isu utama. 

Untuk rekod, Muhammad Rafique merupakan peguam bela bagi beberapa kes mahkamah membabitkan Anggota Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas berhubung surat aku janji, Muhammad Rafique menyifatkan tindakan itu seakan menyekat hak kebebasan bersuara setiap anggota parlimen.

“Untuk memberi pandangan seperti surat aku janji itu adalah satu tanggapan salah dari segi undang-undang.

“Apabila timbul isu keabsahan, perkara itu perlu diputuskan dalam parlimen terlebih dahulu sebab dari segi perundangan, perdana menteri mesti kekalkan majoritinya dan boleh diuji keabsahannya (dalam sidang Dewan Rakyat).

“[...] Bukankah ia juga bertentangan dengan hak bersuara? Macam mana mereka nak berbahas jika ia dihadkan dengan surat perjanjian. Tidak adillah,” jelasnya lagi. 

Lihat Komen
ADS