Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP gesa rakyat bantah tapak pelupusan Lynas di Kuantan

Rakyat Malaysia harus berganding bahu bagi membantah cadangan pembinaan tapak pelupusan kekal (PDF) Lynas dan tapak pelupusan sisa berjadual industri pelbagai kategori (MCISWDS) seluas 202 hektar di Bukit Kuantan, Pahang.

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack menggesa individu, NGO dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik membantah kedua-dua tapak pelupusan yang terletak di kawasan tadahan air itu.

“Ia tidak boleh diterima apabila sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Kuantan akan dijadikan tapak pelupusan itu. Ia terletak di kawasan tadahan air, dan berisiko mencemarkan sumber air untuk penduduk Kuantan.

“Sangat penting untuk kita bersuara sekarang. Bersikap tidak endah adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wong memberi amaran bahawa negara tidak mahu menyaksikan satu lagi kes seperti insiden pencemaran radioaktif Bukit Merah.

Dalam insiden itu, sebuah loji nadir bumi milik firma Jepun yang beroperasi dari 1980-an hingga 1990-an, ditutup setelah dikatakan menyebabkan pencemaran radiasi di Bukit Merah. Syarikat itu kemudiannya menawarkan pampasan kepada penduduk, tanpa menanggung liabiliti ke atas kes-kes kanser yang terjadi di kawasan tersebut.

Lynas yang beroperasi di Gebeng, Kuantan, menerima kritikan sejak ia mula beroperasi pada 2012.

Minggu ini, Malaysiakini melaporkan sebuah firma yang dikaitkan dengan kerabat diraja Pahang diberi tanggungjawab membina MCISWDS. 

PDF Lynas meliputi 58.25 hektar atau 29 peratus daripada luas keseluruhan MCISWDS.

MCISWDS di Pahang akan meliputi sempadan negeri Terengganu. Bersebelahan tapak itu, di sebelah Terengganu, merupakan ladang durian.

Maklumat berkenaan MCISWDS masih terhad tetapi beberapa perincian boleh didapati daripada laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) berkenaan PDF Lynas, yang terletak dalam kawasan berkenaan.

Sebelum ini, syarikat nadir bumi itu dan kerajaan negeri Pahang menafikan bahawa PDF itu terletak di kawasan tadahan air.

Bagaimanapun, laporan EIA bercanggah dengan kenyataan mereka, apabila lokasinya didapati terletak di kawasan tadahan air Sungai Riau.

Masalah reka bentuk

Sementara itu, pengerusi Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) Tan Boon Teet membangkitkan kebimbangan berhubung reka bentuk PDF Lynas seperti yang terdapat di dalam laporan EIA.

Berdasarkan laporan itu, sel PDF, yang merupakan lubang besar yang digali di dalam tanah dan dikukuhkan dengan bahan pembendung, bersaiz 1.35 juta meter padu, iaitu bersamaan dengan 540 kolam renang Olimpik.

“Tapak pelulusan itu akan dibina di kawasan bukit yang curam, yang akan ditutup dengan dua lapisan pelapik tanah liat, dan tanah liat sintetik akan dipasang untuk menahan torium dan uranium," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak pasti jika PDF boleh berfungsi dengan baik ketika musim tengkujuh yang boleh berlanjutan sehingga dua bulan.

“Apabila hujan, sel PDF akan dibanjiri dan air hujan akan dilepaskan ke sungai terdekat bersama dengan sisa (residue),” katanya.

Menurutnya, laporan EIA itu kini terbuka untuk bacaan umum selama sebulan sehingga 19 Mac.

Kata Tan, SMSL akan mengadakan taklimat maya bagi menjelaskan perkara itu kepada orang awam.

“Sementara itu, kami akan kumpulkan data dan maklumat diperlukan untuk kami failkan bantahan kami kepada laporan EIA,” katanya ketika dihubungi.

Adun Semambu Lee Chean Chung menegaskan bahawa penduduk tempatan menolak pembinaan PDF memandangkan mereka tidak mahu tapak pelupusan sisa beradioaktif itu mencemarkan sumber air mereka.

Dia menyifatkan ia sebagai bom jangka bagi alam sekitar yang akan menghantui penduduk sehingga bergenerasi lamanya. 

Lihat Komen
ADS