Malaysiakini
BERITA

2,192 kes baru, lebih separuh di Lembah Klang

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Feb 2021, 11:00 tengahari

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 2,192 kes baru Covid-19 setakat tengah hari ini.

Lebih separuh daripada kes baru adalah di Lembah Klang.

Selangor menjadi negeri dengan kes baru tertinggi dengan 910 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 303 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, sebahagian besar kes baru di Selangor, iaitu 742 kes (81.5 peratus), adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat.

Negeri-negeri lain yang mencatatkan lebih 100 kes baru termasuk Sarawak (211), Johor (211), Perak (148), Pulau Pinang (135) dan Sabah (110).

Sementara itu, jumlah kes aktif terus menurun dengan seramai 3,414 pesakit sembuh hari ini.

Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) pula pada kadar terendah sejak 14 Januari.

Status ringkas:

  • Kes aktif: 32,076
  • Pesakit dalam ICU: 199
  • Pesakit dengan bantuan pernafasan: 91
  • Kematian: 6

Enam kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan dua pesakit di Selangor, dan masing-masing satu di Sabah, Sarawak, Pahang dan Johor.

Korban termuda adalah seorang lelaki warga asing berusia 17 tahun, yang tidak mengidap sebarang penyakit lain. Jenazahnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Seorang lagi pesakit muda yang meninggal dunia adalah lelaki berusia 25 tahun. Dia mengidap mediastinal tumor dan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Empat lagi korban berusia antara 50 hingga 84 tahun.

8 kluster baru

KKM turut memaklumkan terdapat lapan kluster baru yang dikenal pasti hari ini, dengan tujuh daripadanya melibatkan kluster tempat kerja.

Sementara itu, sebanyak 14 kluster yang tamat hari ini, iaitu Kluster Parit Jamil, Kluster Manik, Kluster Batu Lapan, Kluster Paloh Tumpat, Kluster Pondok Hidayah, Kluster Sungai Chemubong, Kluster Jalan TJ, Kluster Stutong, Kluster Sungai Ibor, Kluster Industri Apas, Kluster Jalan KKIP Selatan, Kluster Kampung Bukit Lada, Kluster Teknologi Kesidang, dan Kluster Tropika.

Perincian kluster baru adalah seperti berikut:

Kluster Tapak Bina Lombong Timah

  • Daerah: Kuala Langat, Petaling dan Klang (Selangor)
  • Lokasi / Sumber: Jalan Lombong Timah 3, Bandar Saujana Putra, Kuala Langat
  • Kategori kluster: Tempat kerja
  • Kes pertama: 14 Februari, saringan bersasar pekerja
  • Jumlah kes setakat ini: 45 daripada 566 yang disaring

Kluster Tapak Bina Jalan Kota

  • Daerah: Gombak, Selangor
  • Lokasi / Sumber: Kawasan Perindustrian Kota Elmina, Rawang
  • Kategori kluster: Tempat kerja
  • Kes pertama: 20 Februari, saringan bersasar pekerja
  • Jumlah kes setakat ini: 11 daripada 121 yang disaring

Kluster Pasar Jalan Putra

  • Daerah: Petaling, Selangor
  • Lokasi / Sumber: Pasar borong di Sri Kembangan, Petaling
  • Kategori kluster: Tempat kerja
  • Kes pertama: 20 Februari, saringan bersasar pekerja
  • Jumlah kes setakat ini: 9 daripada 115 yang disaring

Kluster Tapak Bina Sungai Batu

  • Daerah: Kepong, Kuala Lumpur
  • Lokasi / Sumber: Jalan Ipoh, Kepong
  • Kategori kluster: Tempat kerja
  • Kes pertama: 22 Februari, saringan bersasar pekerja
  • Jumlah kes setakat ini: 25 daripada 385 yang disaring

Kluster Emperoh Jambu

  • Daerah: Kuching dan Samarahan (Sarawak)
  • Lokasi / Sumber: Majlis pengebumian di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Samarahan
  • Kategori kluster: Komuniti
  • Kes pertama: 17 Februari, saringan kendiri
  • Jumlah kes setakat ini: 60 daripada 337 yang disaring

Kluster Sungai Bakong

  • Daerah: Meradong, Sarawak
  • Lokasi / Sumber: Pusat pengajian berhampiran Sungai Bakong, Meradong
  • Kategori kluster: Tempat kerja
  • Kes pertama: 3 kes indeks dikesan 19 Februari, saringan individu bergejala
  • Jumlah kes setakat ini: 22 daripada 593 yang disaring

Kluster Hilir Sungai Kluang

  • Daerah: Seberang Perai Utara, Tengah, Barat Daya dan Timur Laut (Pulau Pinang)
  • Lokasi / Sumber: Hilir Sungai Kluang, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas
  • Kategori kluster: Tempat kerja
  • Kes pertama: 13 Februari, saringan bersasar pekerja
  • Jumlah kes setakat ini: 41 daripada 327 yang disaring

Kluster Industri Sungai Gadut

  • Daerah: Seremban, Rembau dan Tampin (Negeri Sembilan)
  • Lokasi / Sumber: Kawasan Perindusrian Sungai Gadut, Seremban
  • Kategori kluster: Tempat kerja
  • Kes pertama: 16 Februari, saringan bersasar pekerja
  • Jumlah kes setakat ini: 65 daripada 2,044 yang disaring


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.