Malaysiakini
BERITA

Video kemalangan tular: Polis tahan lelaki bantu siasatan

Bernama

Diterbitkan

Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan seorang pemandu cedera parah di Bandar Kinrara, Puchong, petang semalam.

Video yang memaparkan kereta jenis Myvi dipandu laju yang merempuh sebuah van dan Proton Waja itu kemudian tular di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari'at berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 2.40 petang.

“Pengadu seorang anggota polis kebetulan berada di tempat kejadian, yang dimaklumkan oleh seorang lelaki telah berlaku kemalangan dan pemandu salah sebuah kenderaan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh orang awam.

“Tangkapan semula dilakukan ke atas suspek itu dan dia dibawa ke Balai Polis Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Azman siasatan awal mendapati kereta jenis Myvi berkenaan dipandu secara melulu serta laju sehingga melanggar van yang berada di hadapan sebelum terbabas.

Katanya mangsa yang cedera parah iaitu pemandu van dibawa ke Hospital Serdang dan kini masih berada di zon merah.

“Butiran mangsa masih belum diperolehi dari pihak hospital dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.