Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sepasukan pegawai dan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menghabiskan masa kira-kira 10 jam sebelum berjaya menemukan syabu seberat lebih 100kg bernilai di Rantau Panjang awal pagi semalam.

Langkah pengawasan itu dibuat hasil risikan di kawasan tapak bekas rumah yang terbakar dan terbiar sejak empat tahun lalu.

Komander Briged Tenggara PGA8, SAC Hasan Basri Ahmad Safar berkata nilai pasaran syabu itu dianggarkan kira-kira RM4.28 juta.

Katanya serbuan dilakukan di Kampung Lubok Gong, Rantai Panjang kira-kira jam 4 pagi.

Bagaimanapun kata Hasan Basri sepanjang pemerhatian itu tiada sebarang pergerakan mencurigakan dikesan.

"Hasil pemeriksaan di tapak rumah tinggal itu kami menemukan enam bungkusan plastik hitam yang diletak di bawah tangga bersimen.

"Pemeriksaan lanjut mendapati di dalamnya terdapat bungkusan guni putih dan mengandungi bungkusan plastik lut sinar bertulis 888 yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

Hasan Basri menambah pemeriksaan lanjut mendapati berat keseluruhan syabu terbabit ialah 107kg.

Lebih 100 pil yaba

Mengulas lanjut Hasan Basri berkata, pihaknya percaya bekalan dadah tersebut diseludup masuk melalui Sungai Golok, manakala tapak rumah tinggal itu dijadikan sebagai lokasi transit sebelum ia diedarkan ke pasaran tempatan dan luar.

Selain rumah terbiar, katanya, kebanyakan sindiket penyeludupan dadah juga menggunakan gudang kosong untuk menempatkan barangan terlarang mereka.

"Kami percaya bekalan itu dibawa masuk dengan cara memunggahnya sedikit demi sedikit memandangkan cuaca panas dan paras air Sungai Golok yang semakin cetek," katanya.

Menurut Hasan Basri hasil rampasan itu diserahkan kepada polis Pasir Mas untuk tindakan susulan.

Katanya rampasan semalam adalah yang terbesar untuk PGA8 setakat tahun ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, Hasan Basri berkata, pihaknya membuat serbuan di sebuah bangsal di Kampung Kubang Puyu, Pasir Mas sebelum menahan dua lelaki kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan badan terhadap suspek menemui satu anak kunci kereta sebelum menemui 171 biji pil yaba dianggarkan bernilai RM61,710 di kawasan bangsal tersebut.

"Pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Toyota Estima mendapati tiada rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan disyaki kereta klon. Saringan ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah," jelasnya.

Lihat Komen
ADS