Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Genting Skyworlds akan dibuka pada Q2 2021
Diterbitkan:  Feb 23, 2021 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Resorts World Genting (RWG) milik Genting Malaysia Bhd telah mengumumkan bahawa taman tema luar yang terbaharunya, Genting Skyworlds, dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini.

Ketua Operasi dan Strategi Perniagaan RWG, Lee Thiam Kit berkata kumpulan itu telah membelanjakan lebih daripada US$800 juta (US $ 1 = RM4.04) pada taman tema tersebut.

"Kami sedang menyiapakan taman tema itu, RWG percaya ia akan menjadi taman tema yang akan menerima ramai pengujung di Asia Tenggara," katanya semasa pelancaran logo Genting SkyWorlds hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif RWG Leisure and Hospitality, Datuk Edward Holloway berkata taman tema itu akan memberi tumpuan dalam menarik pelancong domestik sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dan perjalanan antara negeri dibenarkan.

"Kami akan memberi tumpuan terhadap pasaran tempatan selama enam bulan hingga satu tahun selepas ia dibuka.

"Apabila pintu sempadan dibuka semula, kami menjangkakan ketibaaan pengunjung dari negara jiran seperti Singapura, Vietnam, Hong Kong dan China," katanya.

Taman tema yang terletak di ketinggian 6.000 kaki di atas permukaan laut dengan keluasan lebih daripada 10.5 hektar itu akan menyediakan sebanyak 26 pelbagai permainan dan tarikan.

Genting SkyWorlds juga akan menggabungkan jenama dan harta intelek 20th Century Fox melalui kerjasama strategik antara Genting Malaysia dan 20th Century Fox.

Taman tema itu dahulunya dikenali sebagai 20th Century Fox World.

- Bernama

Lihat Komen
ADS