Malaysiakini
BERITA

KPT umum dividen SSPN 2020 4 peratus

Diterbitkan

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2020 sebanyak empat peratus.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata agihan itu membabitkan anggaran peruntukan berjumlah RM201.3 juta yang akan memberi manfaat kepada 4.82 juta pendeposit SSPN.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen SSPN sebanyak RM856.6 juta sejak skim itu diperkenalkan pada 2004.

"Agihan ini didorong hasil pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraini berkata tahun 2020 juga menyaksikan PTPTN memperoleh keuntungan pelaburan deposit SSPN berjumlah RM237.42 juta, meningkat sebanyak RM32.14 juta iaitu 15.7 peratus berbanding RM205.28 juta pada 2019.

"Kejayaan ini adalah hasil daripada kecekapan PTPTN dalam pelaksanaan kaedah pelaburan patuh Syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif," katanya.

Selain itu, katanya, SSPN mencatatkan deposit berjumlah RM1.99 bilion pada tahun lepas iaitu rekod baharu tertinggi sepanjang penubuhan PTPTN.

Noraini berkata ia meningkat sebanyak RM623.82 juta atau 45.6 peratus berbanding RM1.37 bilion pada 2019, menjadikan jumlah keseluruhan deposit SSPN sehingga 31 Dis, 2020, sebanyak RM7.88 bilion.

Sementara itu, katanya, sebanyak 436,101 akaun baharu SSPN telah dibuka pada tahun lepas, menjadikan sejumlah 4.82 juta akaun dibuka sejak SSPN diwujudkan.

"Tahniah kepada pengurusan PTPTN atas prestasi cemerlang SSPN tahun lepas sekali gus dapat memberikan kadar dividen yang sangat kompetitif kepada pendeposit walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar akibat pandemik COVID-19," katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.