Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tindakan Jabatan Imigresen meneruskan pengusiran terhadap warga Myanmar boleh dianggap menghina mahkamah, kata peguam M Ramachevam dari Majlis Peguam.

Bercakap kepada Malaysiakini, ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguan itu berkata tindakan pengusiran sepatutnya ditangguhkan seperti yang diperintahkan mahkamah.

"Tindakan yang diambil untuk mengusir warga Myanmar meskipun ada perintah penangguhan boleh dianggap menghina mahkamah.

"Status quo harus dipertahankan hingga pukul 10 pagi esok sementara menunggu perintah lebih lanjut dari mahkamah berkenaan proses mahkamah yang telah dimulakan," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud petang ini berkata seramai 1,086 warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen yang sah dihantar pulang dengan tiga kapal tentera laut Myanmar hari ini.

Pagi ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan penghantaran pulang 1,200 warga Myanmar sehingga jam 10 pagi esok (24 Februari).

Ramachelvam berkata, pihak imigresen sepatutnya tahu mengenai perintah mahkamah itu.

"Defendan sepatutnya tahu penangguhan sementara itu kerana mereka diwakili oleh Peguam Negara ," katanya.

Katanya, kini terserah kepada pemohon - NGO Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia - untuk mengemukakan permohonan ke mahkamah bagi memulakan proses penghinaan.

Jabatan Imigresen masih belum menjawab permintaan Malaysiakini untuk memberi komen mengenai tindakan pengusiran tersebut.

Khairul hari ini berkata kesemua 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang adalah merupakan pendatang tanpa izin dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

Bagaimanapun, agensi pelarian PBB, UNHCR berkata ia tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana tidak diberi akses kepada mereka yang dihantar pulang.

Sebelum ini UNHCR menggesa kerajaan menghentikan rancangan pengusiran tersebut kerana ia mungkin melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Penghantaran pulang warga Myanmar ini dilakukan selepas tentera Myanmar baru-baru ini melakukan rampasan kuasa terhadap pemerintah yang dipilih secara sah oleh rakyat negara itu.

Kerajaan Malaysia sebelum ini menyatakan "kebimbangan serius " terhadap rampasan kuasa di Myanmar.

Malaysia tidak mengiktiraf pelarian dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa dokumen yang sah.

Walaupun tidak mengiktiraf mereka, Malaysia merupakan negara bagi sekitar 154,000 pelarian dari Myanmar, selain pekerja asing tanpa dokumen.

Lihat Komen
ADS