story image
mk-logo
Berita
Sidang parlimen dalam darurat: Agong payung demokrasi - Umno
Diterbitkan:  Feb 24, 2021 3:29 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

Pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat membuktikan baginda mengutamakan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata setiap cabang sistem demokrasi negara perlu akur kepada prinsip Rukun Negara termasuk kerajaan (Eksekutif).

Beliau menyifatkan kebijaksaan Al-Sultan Abdullah membuktikan baginda sebagai Ketua Negara yang memayungi rakyatnya meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap amat tinggi.

“Pendirian agar Parlimen kembali bersidang sesegera mungkin adalah selari dengan hasrat memelihara peranan 'legislative oversight' atau semak dan imbang yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” menurutnya dalam kenyataan di Kuala Lumpur malam ini.

Shahril Sufian (gambar, bawah) menjelaskan pendirian itu mendorong kepimpinan Umno sebelum ini menggesa suatu solusi yang membenarkan persidangan Parlimen tanpa membelakangi titah Seri Paduka mengenai Pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata tarikh persidangan Parlimen yang sesuai boleh ditentukan Al-Sultan Abdullah.

“Sebenarnya memang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri apatah lagi dalam keadaan darurat yang telah diisytiharkan,” jelas Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Pada 12 Jan lepas, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) pula berkata pandangan Al-Sultan Abdullah adalah selari dengan pendirian pakatan itu serta majoriti ahli parlimen.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng bersetuju bahawa semasa pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi ketika darurat berkuat kuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urus tadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan.

"Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19 serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara," menurut mereka dalam satu kenyataan bersama.

- Bernama

-

Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS