Warga Pakistan mati dalam tahanan, keluarga gesa tubuh inkues
Keluarga seorang warga Pakistan, Rafi Ullah mahu satu inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian lelaki yang berusia 63 tahun itu semasa dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh, pada 17 Februari lalu.
Peguam M Visvanathan yang mewakili keluarga itu berkata, siasatan menyeluruh perlu memandangkan pihak keluarga telah melemparkan pelbagai pertuduhan termasuk mempersoalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) oleh Jabatan Penjara Malaysia.
"Ada pertuduhan dilemparkan oleh ahli keluarga ke atas pihak penguatkuasa dan berhubung layanan ke atas mangsa di penjara yang merupakan seorang pencari suaka ditahan oleh pihak polis pada 27 September selepas didakwa terlibat dalam satu pergaduhan dengan jiran.

"Dia kemudian dihantar ke Penjara Tapah sebelum di pindah ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan. Tetapi, dia mati pada 17 Feb dan keluarganya tidak dimaklumkan.
"Ia perlu disiasat. Kematian berlaku di penjara bermaksud anggota penjara yang jaga tahanan perlu juga memberi penjelasan berkenaan kecederaan pada badan si mati. Sama ada penjara sedar mangsa mempunyai kecederaan dan ia menyebabkan kematian mangsa.
"Maka, kami saran satu siasatan inkues perlu diadakan," katanya di sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Visvanathan dia akan menulis surat kepada Peguam Negara Idrus Harun agar satu inkues diadakan dalam masa secepat mungkin.
Sidang akhbar hari ini adalah anjuran sebuah NGO yang dikenali sebagai Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) bersama NGO, North South Initiative (NSI).
Ia turut dihadiri ahli keluarga Rafi.

Menurut adik ipar lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Azhar, 42, pihak penjara tidak memaklumkan kematian Rafi kepada keluarganya.
"Ahli keluarga hanya mengetahui kematian dia pada 19 Feb melalui seorang lagi warga Pakistan yang memberitahu bahawa mayat Rafi telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
"Kami tidak dibenarkan melihat dia sehingga sekarang," katanya sambil dibantu oleh seorang penterjemah kerana tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris.
Visvanathan menjelaskan bahawa pada awalnya ahli keluarga tidak dibenarkan melihat mayat Rafi.
"Permintaan bedah siasat oleh keluarga ditolak, selepas polis mendakwa bahawa si mati positif Covid-19.
"Tetapi, bedah siasat diadakan semalam di Hospital Kuala Lumpur, setelah pihak keluarga membuat laporan polis mendesak untuk bedah siasat.
"Keputusan awal bedah siasat mendapati dia mati akibat serangan jantung dan juga terdapat kecederaan di tangan dan kaki.
"Maka, ahli keluarga menyeru kerajaan menyiasat perkara terbabit mengikut Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

