Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 1,000 pekerja hospital swasta tercicir dari senarai penerima vaksin

Tanpa disengajakan, lebih seribu petugas kesihatan swasta tercicir daripada senarai penerima awal vaksin Covid-19.

Ini selepas Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) terlepas pandang mengenai perkara berkenaan. Bagaimanapun APHM telah berjanji untuk menyelesaikannya.

Perkara ini dibangkitkan CEO Hospital Thomson, Nadiah Wan di Twitter pagi ini, berkenaan bagaimana APHM “secara tidak sengaja” gagal memasukkan nama petugas di hospitalnya ke dalam senarai yang dihantar kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Dia bimbang pekerjanya akan tercicir daripada Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan oleh kerajaan buat petugas barisan hadapan.

Ketika dihubungi, Nadiah memberitahu Malaysiakini bahawa hospitalnya sudah pun menghantar senarai 1,145 petugas kepada APHM pada bulan lepas, seperti yang diminta.

“Ini termasuk pekerja pembersihan warga asing, pembantu doktor di klinik dan semua kakitangan beserta jawatan penuh supaya KKM boleh menentukan siapa yang harus diutamakan bagi Fasa 1 dan Fasa 2,” katanya.

Nadiah Wan

Dia menggesa hospital swasta yang lain untuk memeriksa sama ada pekerja mereka sudah pun dimasukkan dalam senarai APHM kepada kementerian, atau pun tidak.

APHM mengumpul nama daripada kira-kira 140 hospital ahli di seluruh negara dan menghantarnya ke KKM untuk dipertimbangkan bagi fasa awal Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Yang tercicir akan dimasukkan”

Bercakap kepada Malaysiakini, Presiden APHM Dr Kuljit Singh mengakui ralat yang berlaku dan berkata langkah pembetulan sedang dibuat dengan kadar "segera".

“Kami sedang memperbetul senarai itu.

“Mereka yang tercicir akan dimasukkan. Nama yang tertinggal itu sebahagian kecil dan kami akan pastikan tiada petugas kesihatan swasta yang tertinggal daripada senarai tersebut,” katanya.

Dr Kuljit Singh

Kuljit turut memaklumkan APHM telah menawarkan untuk mengumpul nama petugas daripada hospital ahlinya, tetapi itu tidak termasuk kira-kira 60 lagi hospital swasta yang tidak menganggotai persatuan.

Terdapat 210 pusat kesihatan swasta yang berdaftar di Malaysia.

“Kami melakukan yang terbaik dalam masa yang mencabar ini dan kami akan membetulkan (masalah berkenaan),” tegasnya.

Insiden keciciran itu turut mendapat perhatian kerajaan.

Penasihat khas kesihatan awam kepada perdana menteri, Dr Jemilah Mahmood membangkitkan isu keciciran pekerja hospital swasta daripada senarai APHM dalam mesyuarat pasukan petugas khas imunisasi Covid-19, hari ini.

“Nampaknya sesetengah pusat kesihatan swasta mungkin ada juga yang tercicir. Bolehkah APHM tolong periksa?” ciapnya di Twitter.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang memantau program vaksinasi turut menggesa hal serupa.

“Diharap APHM dapat perbetulkan dan hantar senarai (Hospital Thomson) kepada kami dengan segera,” ciapnya di Twitter.


Lihat Komen
ADS