Polis jumpa 101 kg dadah dalam longgokan sampah
Polis Kelantan sekali lagi merekodkan rampasan dadah dengan jumlah besar hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis di sebuah rumah tinggal di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang, malam tadi.
Lokasinya terletak kira-kira 100 meter daripada lokasi rampasan syabu bernilai RM4.28 juta pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat, berkata rampasan kali ini melibatkan sebanyak 101 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3.6 juta.
Menurutnya, modus operandi yang dilakukan sindiket berkenaan juga hampir sama dengan kes sebelum ini manakala bekalan syabu malam tadi ditinggalkan dalam longgokan sampah di belakang rumah.
"Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari D9 Bukit Aman selepas mendapat maklumat.
"Sebaik pasukan kita mendekati kediaman itu, kita mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni sebelum menemui 24 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu.
"Berdasarkan kaedah pembungkusan dan modus operandi yang digunakan, kita percaya kegiatan ini didalangi sindiket yang sama dengan penemuan syabu pada Isnin lalu termasuk jarak lokasi hanya 100 meter sahaja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Shafien berkata, melihat kepada rampasan dadah jenis syabu yang banyak sepanjang Februari ini, pihaknya percaya sindiket berkenaan seolah-olah mahu ‘test market’.
"Mereka mahu melihat sama ada laluan selamat atau sebaliknya untuk membawa bekalan terbabit ke pasaran termasuk Lembah Klang.
"Bagaimanapun, kita akan memperketatkan kawalan termasuk sekatan jalan raya supaya bekalan dadah berkenaan tidak bolos," katanya.
Tambahnya, sepanjang Februari ini, terdapat tiga rampasan besar membabitkan keseluruhan syabu seberat 610 kilogram dengan nilai RM22 juta dengan pelbagai cara untuk membawa masuk bekalan dadah tersebut.
"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa sindiket yang aktif, namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

