Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tentera terlibat operasi, misi luar negara kumpulan pertama divaksin
Diterbitkan:  Feb 26, 2021 12:22 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan operasi dan di luar negara adalah kumpulan pertama penerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dalam kalangan pasukan keselamatan itu kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya anggota ATM terbabit ialah yang sedang dan akan bertugas di kawasan operasi seperti Op Benteng, Op Penawar, misi pengaman Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao di bawah tentera darat, laut serta udara.

“Sebagai contoh vaksin ini akan diberi kepada anggota yang bertugas di Op Benteng kerana mereka ini menjaga sempadan dan perairan negara serta berhadapan dengan pendatang tanpa izin.

“Selain itu, vaksin ini juga akan diberikan kepada Kumpulan Pemerintahan Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementerian Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, markas-markas formasi tentera darat, laut dan udara terutamanya bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pemberian vaksin Fasa 1 itu juga disasarkan kepada pegawai dan anggota ATM yang terlibat mengoperasikan aset pertahanan strategik negara.

Antaranya pesawat pejuang, pesawat pengangkut, kapal-kapal tentera laut, juruterbang helikopter tentera darat, laut dan udara serta anggota pasukan khas.

“Ia juga melibatkan anggota yang mengendalikan aset pertahanan udara dan aset-aset khusus lain yang tidak boleh dikendalikan oleh mana-mana pegawai dan anggota lain yang tidak dilatih khas,” katanya.

Beliau berkata ATM menjadualkan pemberian suntikan vaksin itu yang bermula semalam terutamanya bagi petugas vaksinasi perkhidmatan kesihatan ATM.

“Sejak semalam seramai 230 penerima divaksinasikan dengan dos pertama daripada vaksin jenis Cominarty keluaran Pfizer BioNtech,” katanya.

Ismail Sabri berkata 14 pegawai dan anggota ATM dan PDRM yang akan terlibat dengan Misi Pemantau Antarabangsa Mindanao akan turut divaksin dan akan berlepas ke selatan Filipina selepas menerima dos kedua mereka pada Mac depan.

“Di samping itu, seramai 40 orang anggota Kumpulan Wanita Kedua ATM bagi Misi Unifil akan menerima vaksin esok sebagai sebahagian dari program pelindungan kesihatan sebelum bertugas di Lubnan,” katanya.

Mengulas mengenai warga ATM yang sedang bertugas di misi pengaman di Lubnan sama ada mereka menerima vaksin ini atau sebaliknya, Ismail Sabri berkata ATM telah menerima tawaran suntikan vaksinasi dari pihak Unifil.

Mengenai pengalaman menerima suntikan berkenaan hari ini, Ismail Sabri berkata ketika suntikan beliau tidak rasa sakit.

“Saya sendiri telah mengambil vaksin dan orang ramai tidak perlu bimbang akan keselamatan vaksin ini kerana ia telah melalui ujian keselamatan dan kajian terperinci oleh syarikat yang mengeluarkannya.

“Apabila vaksin ini telah tiba di negara kita, kita sekali lagi menguji keselamatan vaksin dan ini menunjukkan bahawa vaksin ini diuji dengan tapisan keselamatan yang tinggi,” katanya.

Ismail Sabri menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita-berita palsu mengenai vaksin berkenaan.

“Saya percaya bahawa vaksin ini akan lebih memberi impak kerana Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai strategi untuk membendung wabak Covid-19 dalam memutuskan rantaiannya,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS