Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Terbukti tindakan Ahmad Maslan betul
Diterbitkan:  Feb 26, 2021 1:24 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Tindakan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan meminta ahli Parlimen Umno menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong memohon perkenan supaya Dewan Rakyat bersidang terbukti bukan satu "penderhakaan".

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata ia terbukti apabila Yang di-Pertuan Agong perkenan supaya Parlimen bersidang ketika darurat.

Secara sinis Mohd Puad berharap Annuar Musa faham dengan situasi berkenaan dengan surat dikeluarkan Ahmad.

"Semoga Tan Sri Annuar Musa faham perkara ini. Jelas surat Ahmad Maslan tidak silap. Dengan sendiri menolak tuduhan Annuar bahawa mohon perkenan YDP Agong untuk sidang khas Parlimen dianggap 'menderhaka'.

"Fahamlah rakyat sekarang. Semoga PM (perdana menteri) tidak berdolak dalik. Semoga YB YB bila dah bersidang nanti janganlah bergaduh kenapa Rina Harun makin cantik dan ramping," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 24 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara ini pada satu kenyataan hari ini.

"Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

"Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

"Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat perdana menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini," kata kenyataan Istana Negara.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata selepas persetujuan Agong kini ia terpulang kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memanggil sidang Parlimen.

"Menjunjung kasih Tuanku. Keprihatinan Tuanku agar demokrasi di Malaysia terus subur disanjung tinggi oleh rakyat. Mohon rakyat baca kenyataan media Istana Negara.

"YDP Agong bertitah, Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Tuanku 'atas nasihat perdana menteri'.

"Justeru diharap TS Muhyiddin bertindak segera memberikan tarikh untuk diperkenan oleh YDP Agong. Ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) 2021," katanya.

Lihat Komen
ADS