Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak fokus selamatkan nyawa, pilihan raya kemudian - Abang Jo
Diterbitkan:  Feb 27, 2021 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Fokus kerajaan negeri Sarawak kini adalah untuk menyelamatkan nyawa penduduk di negeri itu dalam mendepani penularan wabak pandemik Covid-19 dan bukan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata negara juga kini dalam tempoh perintah darurat dan PRN akan hanya diadakan selepas tempoh itu.

“Kita dalam suasana darurat, election (PRN) boleh (diadakan) kemudian, bila-bila masa boleh ada election. Nyawa lebih penting,” katanya dalam sidang media majlis pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan di Kuching, hari ini.

Tempoh mandat kerajaan Sarawak ketika ini adalah hingga Jun 2021.

Sementara itu, Abang Johari yang menjadi antara individu terawal di Sarawak menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam berkata kerajaan negeri menyasar untuk memberi vaksin kepada lebih 2 juta penduduknya menjelang Ogos depan.

Menurutnya, program imunisasi itu juga akan dilaksanakan dalam tiga fasa dan tertakluk kepada bekalan vaksin.

Beliau berkata program imunisasi Covid-19 bagi Sarawak yang bermula semalam telah mencapai sasaran apabila seramai 1,688 individu telah divaksinasi.

“Kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk menyediakan logistik penghantaran vaksin Covid-19 di seluruh Sarawak.

”Pelaksanaan program ini adalah usaha yang sangat sukar kerana memerlukan perancangan terperinci, ramai tenaga kerja dan logistik mencukupi memandangkan saiz negeri kita yang besar.

“Namun, saya yakin bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dapat melaksanakannya dengan jayanya," katanya.

Rabu lepas, Sarawak menerima kumpulan pertama 23,400 dos vaksin Pfizer-BioNTech.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS