Keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) bahawa sekolah-sekolah di zon merah Covid-19 di negeri itu kekal ditutup sehingga 14 Mac merupakan 'tamparan' terhadap keputusan Kementerian Pendidikan, kata bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching.

"Keputusan ini tiada beza melainkan tamparan kepada Kementerian Pendidikan. Pada dasarnya kerajaan negeri Sarawak mengatakan" Saya tak setuju dengan anda," kata Teo dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut JBPN, keputusan itu dibuat setelah perbincangan diadakan dengan Jabatan Kesihatan Sarawak dan Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM sebelum ini memutuskan bahawa prasekolah dan sekolah rendah akan dibuka semula mulai 1 Mac.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan murid Tahun 1 dan 2 akan kembali ke sekolah pada 1 Mac, manakala murid Tahun 3 hingga 6 akan kembali bersekolah pada 8 Mac.

"Oleh itu, KPM harus menjelaskan kepada guru dan ibu bapa di Semenanjung dan Sabah.

"Sekiranya mereka berpendapat sekolah tidak selamat untuk dibuka di zon merah di Sarawak, mengapa selamat untuk kita di negeri lain di Malaysia?" soal Teo.

Dia berkata angka Covid-19 Sarawak tidak banyak berbeza dengan negeri-negeri lain.

Pada 27 Februari, sebanyak 255 kes baru dicatatkan di Sarawak, 314 kes di Johor, 862 kes di Selangor, 305 kes di Perak, dan 117 kes di Kuala Lumpur.

"Jumlah kes aktif di Sarawak setakat semalam adalah 2,397 kes, Johor 2,734 kes, Selangor 3,002 kes, Perak 3,626 kes, Kuala Lumpur 2,911 kes.

"Sarawak kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), namun Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang masih di bawah PKPB penuh.

"Bukankah faktor-faktor ini semua petunjuk bahawa keadaan Covid-19 di Selangor, Johor dan lain-lain juga sangat kritikal?

"Jadi apa faktor yang digunakan untuk memutuskan sekolah di zon merah Sarawak ditutup sehingga 14 Mac, manakala sekolah di zon merah negeri lain boleh dibuka semula?

"Apa indikator pengukuran yang digunakan untuk mencapai kesimpulan saintifik dan logik bahawa memang selamat untuk sekolah dibuka semula?" soal Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Dia berkata KPM harus meyakinkan rakyat Malaysia bahawa keputusan kementerian itu dibuat secara profesional dengan bukti dan analisis yang tepat.