Malaysiakini
BERITA

Kelantan buat laporan polis isu dakwaan 'potong barisan' vaksinasi

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Mac 2021, 8:27 pagi

Kerajaan Kelantan hari ini tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan mengatakan 200 kakitangan kerajaan negeri cuba memotong giliran sebagai penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Laporan itu dibuat melalui Pegawai Khas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Taufiq Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Menurut Taufiq laporan polis itu dibuat kerana dakwaan itu menjejaskan integriti kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Justeru pihaknya turut meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap kakitangan kerajaan yang menyebarkan dakwaan berkenaan.

"Pada 28 Februari, saya menerima satu gambar tangkapan skrin yang ditulis dalam ciapannya di Twitter oleh seorang doktor yang mendakwa kejadian potong barisan bagi penerima fasa pertama suntikan vaksin Covid-19 membabitkan kakitangan kerajaan negeri.

"Ciapan berkenaan tular ke seluruh negara mengakibatkan reputasi buruk terhadap kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri," katanya ketika ditemui media.

Terdahulu dakwaan tersebut diberi perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin meminta pemberi maklumat untuk tampil sekiranya mempunyai aduan mengenai dakwaan cubaan memotong barisan dalam mendapatkan vaksin Covid-19.

Dia berkata demikian sebagai menjawab ciapan Twitter doktor perunding dan ahli nefrologi Dr Rafidah Abdullah yang menyorot berhubung aduan bahawa pegawai dari pejabat setiausaha negeri (SUK) Kelantan berusaha untuk memotong barisan.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Exco Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin dan pihaknya menyarankan agar KKM menyiasat kakitangan mereka yang dikhuatiri melanggar etika dan prosedur. 

Sementara itu Taufiq berkata, walaupun kerajaan negeri sudah menafikan dakwaan itu, dia menerima satu lagi gambar tangkap layar yang berbaur fitnah kepada kerajaan negeri.

"Jadi kita mohon pihak polis membuat siasatan terhadap ciapan berkenaan yang pada hemat kami sudah melanggar undang-undang serta menjejaskan nama baik kerajaan," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu pihak polis susulan laporan yang dibuat.

"Kita percaya pihak polis akan telus dan jabatan tidak akan berkompromi sekiranya ada pegawai yang melanggar peraturan," katanya ketika dihubungi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.