Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid dakwa seteru Umno 'beli belah' untuk pertahan kuasa
Diterbitkan:  Mar 3, 2021 4:26 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa bahawa seteru Umno sedang "membeli-belah" untuk "mempertahankan kuasa".

Dalam kenyataan di Facebook, Zahid berkata demikian tanpa menyebut secara spesifik pihak yang dimaksudkannya, namun memberi beberapa bayangan.

Zahid berkata, mereka adalah pihak yang memainkan sentimen dan emosi ahli serta penyokong Umno BN untuk menumbangkan parti sendiri.

Jelasnya, ia termasuklah dalam ceramah politik di kawasan-kawasan yang dianggap kubu kuat Umno BN ketika pilihan raya umum (PRU) 2018.

"Mula-mula mereka memburuk-burukkan para pemimpin Umno BN dengan pelbagai tuduhan dan dakyah.

"Kemudian penceramah mula 'bersajak' memukau pendengar kononnya mereka bukan mahu menghancurkan Umno, sebaliknya mahu menyelamatkan Umno BN.

"Berpidato kononnya jika mereka menang, parti Umno BN akan diselamatkan oleh pemimpin kerajaan baharu. Saya dimaklumkan, ucapan-ucapan yang penuh dengan kepuraaan dan hipokrit itu mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

"Hakikatnya selepas tewas, Umno BN malah dihina, dikeji dan cuba dihapuskan secara total oleh mereka," katanya.

Dalam konteks ini, kemungkinan besar Zahid merujuk kepada Bersatu, yang merupakan parti serpihan Umno dan seteru mereka semasa pilihan raya 2018.

Bagaimanapun, Bersatu dan Umno kini merupakan sekutu dalam kerajaan.

Zahid dilihat merupakan antara pemimpin dalam Umno yang tidak lagi mahu bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, pendirian rasmi Umno hanya akan dijelaskan setelah perhimpunan agung parti itu pada 27 dan 28 Mac.

Tiga isu utama yang akan diputuskan oleh adalah:

1. Hubungan dengan PAS;

2. Sama ada akan memutuskan hubungan dengan Bersatu atau tidak menjelang pilihan raya umum akan datang; dan,

3. Sama ada akan melobi pilihan raya diadakan seawal suku pertama 2021.

Kepada seluruh ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dikasihi. Kekalahan pada PRU14 telah banyak mengajar dan...

Posted by Zahid Hamidi on Tuesday, 2 March 2021

 

Lihat Komen
ADS