Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad sahkan terima notis saman Muhyiddin
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 12:13 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi mengesahkan bahawa dia telah menerima notis saman daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Semalam saya telah mengambil maklum bahawa saya telah disaman oleh perdana menteri.

"Selain itu, terdapat satu perintah injunksi ex parte (perintah larangan sementara) terhadap saya yang telah diberikan oleh mahkamah.

"Saya akur akan perintah tersebut dan saya sedang dalam proses mendapatkan nasihat guaman saya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Puad sebelum ini menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin berhubung tindakan saman sebanyak RM10 juta terhadapnya.

Surat tuntutan itu menuntut permohonan maaf daripada pemimpin akar umbi Umno itu dan mendesaknya memadam posting di media sosial yang mendakwa layanan berbeza k atas rakyat berhubung prosedur operasi standard dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Catatan FB itu dimuat naik pada 9 Februari.

Bagaimanapun, bekas ketua pengarahJabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu  enggan memohon maaf dan memilih untuk ke mahkamah.

"Saya percaya kepada sistem kehakiman negara dan saya akan membela diri di hadapan mahkamah," katanya.

Dia juga menambah bahawa sebagai menghormati mahkamah, dirinya tidak akan mengeluarkan apa apa kenyataan lanjut berkenaan dengan saman untuk diadili.

Untuk rekod, pada 1 Mac, peguam perdana menteri Rosli Dahlan memberitahu Malaysiakini bahawa hakim Mohd Firuz Jaffril telah membenarkan permohonan ex-parte plaintif bagi menghalang Mohd Puad daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan semula atau menyiarkan semula dan/atau berkongsi semula dalam apa cara sekalipun satu hantaran Facebook bertajuk "Kuarantin pun ada dua darjat".

Peguam itu menjelaskan bahawa saman fitnah utama telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga pada 1 Mac.

Lihat Komen
ADS