Jika larangan aktiviti merentas negeri berlanjutan sehingga akhir tahun, lebih ramai pengusaha bas ekspres di Kelantan dikhuatiri akan menghentikan operasi atau gulung tikar.

Pengerusi Persatuan Bas Ekspres Kelantan Che Ibrahim Che Ismail berkata sudah banyak pengusaha bas ekspres di negeri itu terpaksa memberhentikan operasi atau gulung tikar susulan pandemik Covid-19 sejak setahun lalu.

Katanya, tindakan itu terpaksa diambil susulan pengusaha terbabit tidak lagi mampu menampung kos operasi termasuk membayar gaji pekerja.

"Setakat ini dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), hanya lima syarikat bas yang masih beroperasi. Jika larangan rentas negeri diteruskan sehingga ke akhir tahun, tidak dapat dibayangkan nasib pengusaha bas dan lebih 2,000 pemandu bas ekspres di Kelantan.

"Keadaan sekarang pun sudah terdesak ibarat kanser tahap tiga dan hampir memasuki tahap empat, apatah lagi jika masalah ini berlarutan.

"Walaupun kini bas dibenarkan beroperasi, tetapi hanya beberapa buah sahaja digunakan kerana penumpang tidak ramai memandangkan memerlukan surat kebenaran rentas negeri," katanya hari ini.

Terdahulu Che Ibrahim mengadakan sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada pemandu bas syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kota Bharu.

Che Ibrahim yang juga pemilik Konsortium E-Mutiara berkata, hanya 15 bas daripada syarikatnya beroperasi sekarang berbanding 80 secara keseluruhan sebelum ini.

"Malah pada tahun lalu kami mengalami kerugian sekitar RM26 juta berbanding pendapatan pada 2019," katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga berharap agar kerajaan mempertimbang bantuan one-off kepada pemandu bas ekspres seperti yang diberikan kepada pemandu bas persiaran serta bas sekolah.

Ujarnya, kerajaan tidak boleh bersikap pilih kasih kerana semua pemandu bas kini hilang punca pendapatan dan memerlukan bantuan.

"Di Kelantan ada lebih 2,000 pemandu bas ekspres dan kami merayu supaya kerajaan turut memberikan bantuan one-off sebanyak RM500.

"Kami juga sudah menghantar surat rayuan kepada Kementerian Kewangan sejak Jan lagi, tetapi sehingga kini tiada maklum balas," katanya.