Kerjasama BN dengan Bersatu pada PRU15 kekal rahsia
Mesyuarat Barisan Nasional (BN), malam semalam membuat keputusan bahawa kerjasama dengan Perikatan Nasional sekarang ini akan diteruskan, kata sumber rapat daripada gabungan itu.
Sumber yang enggan namanya disiarkan, berkata gabungan BN yang merangkumi Umno, MCA, MIC dan PBRS membuat ketetapan tersebut semasa mesyuarat semalam di PWTC, Kuala Lumpur.
"BN membuat keputusan meneruskan kerjasama dengan PN. Keputusan itu diambil sebulat suara. Cuma (Presiden PBRS) Joseph Kurup tidak hadir. Yang lain semua hadir.
"BN juga mengambil keputusan tolak kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, DAP dan Amanah," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, ketika ditanya jika kerjasama itu mempunyai tempoh tertentu, sumber berkenaan enggan mendedahkannya.
"Itu rahsia," katanya ringkas.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Umno telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Surat bertarikh 26 Feb itu juga menyebut bahawa kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran parlimen.
Perkara itu kemudiannya disahkan oleh kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin yang berkata, partinya akan membincangkan hubungannya dengan Umno petang ini.
Katanya, kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan turut dibincangkan.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi pemimpin Umno, MCA dan MIC untuk mendapatkan ulasan mereka.
Sementara itu, sumber yang sama memaklumkan bahawa keputusan Umno untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 tidak dibincangkan.
"Isu Umno tidak kerjasama dengan Bersatu tidak bincangkan.
"Itu isu domestik Umno. Tidak kena mengena dengan BN," katanya.
Sumber itu turut mengesahkan bahawa tiada mesyuarat susulan BN pada hari ini.
"Buat apa nak buat hari ini? Semalam kami mesyuarat tiga jam.
"Bincang pelbagai isu. Tidak benar kami bertemu semula hari ini," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa BN akan bermesyuarat semula hari ini.






