Individu masuk S'wak perlu jalani ujian swab, kuarantin 14 hari
Individu yang mahu memasuki Sarawak untuk tujuan kerja perlu menjalani ujian swab tiga hari sebelum berlepas dan menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di negeri itu.
Peraturan itu juga terpakai kepada pelawat yang mempunyai kebenaran dari pihak polis untuk memasuki negeri itu bagi tujuan selain daripada kerja, kata menteri pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
Bagi rakyat Sarawak, kerajaan negeri akan menanggung ujian swab dan kos kuarantin.
Berikut syarat keluar masuk antara Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia:
- Dari negeri lain ke Sabah: Pelawat yang datang untuk tujuan kerja atau mendapat kebenaran daripada polis untuk perkara lain perlu menjalani ujian swab tiga hari sebelum berlepas. Tidak perlu kuarantin apabila tiba.
- Dari Sabah ke Semenanjung: Tidak perlu ujian swab
- Dari Sabah ke Sarawak atau Labuan: Ujian swab tiga hari sebelum berlepas.
- Dari Sarawak ke Semenanjung: Tidak perlu ujian swab
- Dari Sarawak ke Sabah dan Labuan: Ujian swab tiga hari sebelum berlepas. Tidak perlu jalani kuarantin apabila tiba.
- Dari Semenanjung ke Labuan: Ujian swab tiga hari sebelum berlepas.
- Dari Labuan ke Semenanjung: Tidak perlu ujian swab.
Ismail berkata rentas daerah tidak dibenarkan di Sabah dan Sarawak atas permintaan kerajaan negeri masing-masing.
Berhubung rentas negeri, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan untuk menarik balik larangan itu di zon hijau dan negeri yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Namun, katanya, mereka sedang meneliti perkara itu kerana beberapa kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut terletak di antara kawasan PKPP.
Dalam perkembangan lain, Ismail mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di sekolah Henry Gurney di Melaka setelah 152 orang, yang majoriti pelajar, diuji positif Covid-19.

