Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata keputusan mengenai hubungan parti itu dengan Umno akan dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin.

"Ada keputusan tapi akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu menerusi kenyataan sebentar lagi," katanya ringkas kepada pemberita.

Muhyiddin berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu di Putrajaya sebentar tadi.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat MPT yang antara lain membincangkan hubungan parti itu dengan Umno yang juga rakan kerjasamanya di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini susulan surat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengenai keputusan Ahli Majlis Tertinggi Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Surat bertarikh 26 Feb itu juga menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu dan naib-naib presiden termasuk Dr Ronald Kiandee, Dr Radzi Jidin serta Mohd Rafiq Naizamohidee; Ketua Penerangan, Wan Saiful Wan Jan; Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi Rina Mohd Harun.

Antara ahli MPT lain yang turut kelihatan termasuk Saifuddin Abdullah, Mustapa Mohamed, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

'Bersatu akan turuti kemahuan Umno'

Sementara itu, sumber Malaysiakini memaklumkan Bersatu telah memutuskan ketetapan untuk menuruti kemahuan Umno.

“Kita ikut kemahuan Umno. Lagi pun ini permintaan Umno, bukan Bersatu,” katanya ringkas ketika diminta diminta mengulas adakah Bersatu bersetuju dengan tindakan yang dibuat Umno.

Hamzah ketika diminta mengulas mesyuarat petang tadi berkata apa yang penting pada waktu ini adalah kestabilan politik kerana ia akan memberikan manfaat kepada rakyat.

Katanya, semua parti yang berperanan dalam PN patut diberi penghargaan kerana berjaya mengekalkan kerajaan dalam tempoh ini.

“Kita semua sedang meraikan setahun Perikatan Nasional, fokus kita sepatutnya ke arah itu. Kita nak bincang semua, ucap terima kasih pada semua itu sepatutnya perkara penting.

“Sebab yang penting adalah kestabilan kerajaan ini. Bila bercakap tentang kestabilan politik, selepas setahun kita sedar semua pihak saling bekerjasama.

“(Kita) hendak menentukan supaya segala apa yang kita lakukan itu sesuatu yang baik untuk rakyat,” katanya sambil meminta media menunggu kenyataan rasmi parti berhubung mesyuarat hari ini.


Lihat Komen
ADS