AMK mahu kerajaan lebih terbuka, inklusif pada pemberi maklumat
Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir menggesa kerajaan mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan sekiranya terdapat usaha memotong giliran mendapatkan vaksin Covid-19.
Menurut Akmal, kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang petugas kesihatan membuat kenyataan umum tanpa kebenaran bukan saja menyekat rakyat daripada mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Bahkan katanya ia bertentangan dengan saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meminta pemberi maklumat untuk tampil sekiranya mempunyai aduan mengenai dakwaan cubaan memotong barisan dalam mendapatkan vaksin berkenaan.
“Apabila terdapat petugas kesihatan yang memilih untuk membuat kenyataan umum dengan disertai lampiran bukti-bukti tanpa mendedahkan identiti mereka, ini merupakan isyarat bahawa mereka tidak yakin terhadap keberkesanan kerajaan melindungi identiti mereka yang membuat pendedahan.
“Oleh itu, kerajaan digesa mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap whistleblower (penyalur maklumat) serta proaktif melindungi identiti mereka yang juga merupakan petugas barisan hadapan.
“Sebagai petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus lebih setahun bagi mengekang penularan wabak ini, sudah pasti mereka lebih sensitif terhadap sebarang tindakan yang bertentangan dengan nilai dan etika,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, KKM mengingatkan para pegawainya agar tidak membuat kenyataan mengenai dasar, program atau keputusan kerajaan tanpa mendapatkan persetujuan daripada kementerian tersebut.
Kenyataan itu menjelaskan peraturan mengenai etika dalam mengeluarkan pernyataan di media sosial bukanlah untuk menghalang pegawai KKM bersuara tetapi untuk memastikan mereka menggunakan saluran yang tepat untuk membuat aduan dan sekali gus menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam serta kerajaan.
Kenyataan itu hadir susulan respons balas Khairy terhadap perkongsian doktor perunding dan ahli nefrologi Dr Rafidah Abdullah berkongsi paparan mesej yang mendakwa bahawa ada pegawai dari pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) berusaha untuk memotong barisan vaksinasi Covid-19.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata kenyataan yang dikeluarkan KKM itu secara tidak langsung akan menimbulkan kegusaran dan memberi tekanan kepada pemberi maklumat untuk mendedahkan ketirisan dalam tindakan yang digerakkan kerajaan.
“Sehubungan itu, sebarang kenyataan yang berbaur amaran atau gertakan sebegini amat tidak membantu kepada usaha mengekang ketirisan dalam pelaksanaan program vaksinasi ini.
“Teguran petugas kesihatan melalui saluran mana sekali pun perlu diberi perhatian dan disusuli dengan siasatan yang adil.
"Ini juga merupakan suatu penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah memberikan komitmen baik selama ini," katanya.

