Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ seru orang ramai beri maklumat jika ada cubaan potong barisan vaksinasi
Diterbitkan: Β Feb 28, 2021 8:44 PM
β‹…
Dikemaskini: 12:55 PM

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin meminta pemberi maklumat untuk tampil sekiranya mempunyai aduan mengenai dakwaan cubaan memotong barisan dalam mendapatkan vaksin Covid-19.

Dia berkata demikian sebagai menjawab ciapan Twitter doktor perunding dan ahli nefrologi Dr Rafidah Abdullah yang menyorot berhubung aduan bahawa pegawai dari pejabat setiausaha negeri (SUK) Kelantan berusaha untuk memotong barisan.

Malaysiakini sebelum ini juga menyorot mengenai aduan kakitangan di Hospital Serdang, yang tidak ingin namanya didedahkan kerana bimbang tindakan tatatertib, mengenai cadangan untuk mengutamakan pentadbir dan 'influencer' hospital.

Kementerian Kesihatan menafikan aduan itu dan menyifatkan ia sebagai "berita palsu".

Sejak itu, Malaysiakini telah menerima dua aduan serupa, satu berkaitan dengan SUK Kelantan seperti yang dikemukakan oleh Rafidah dan satu lagi di Pulau Pinang yang melibatkan pegawai kanan daerah.

"Saya pandang sangat serius isu queue jumper (potong barisan) ini. Saya telah maklum perkara ini kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah agar tiada pemotongan queue.

"Whistleblower (pemberi maklumat) boleh hantar emel secara anonymous (tanpa nama) terus kepada saya [email protected] dan saya akan siasat," kata Khairy di Twitter.

Khairy menambah bahawa pasukannya telah memantau aduan di media sosial mengenai dakwaan usaha memotong barisan untuk menerima vaksin.

"Kami memandang serius setiap pendedahan. Ekuiti vaksin adalah penting," katanya.

Sebelum ini, Rafidah berkongsi di Twitter paparan mesej yang mendakwa bahawa SUK Kelantan meminta 200 dos vaksin disediakan untuk 200 pegawai.

Mesej itu mendakwa SUK berkenaan menolak untuk mendedahkan senarai individu yang akan diberi vaksin sehingga hari vaksinasi tiba.

Mesej itu menambah bahawa tindakan itu akan menyebabkan petugas barisan depan perubatan yang tersenarai awal sebagai penerima vaksin terpaksa memberi laluan.

 

Lihat Komen
ADS