Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin harap parti dalam k'jaan PN kekal hadapi PRU15 bersama
Diterbitkan:  Mar 5, 2021 8:38 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan harapan agar semua parti politik yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), terus kekal bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bagaimanapun berkata ia terpulang kepada pimpinan parti masing-masing untuk menentukan pendirian yang sebaliknya.

"Saya fikir tidak jadi apa-apa masalah walaupun kita mahu melihat gabungan parti yang ada terus kekal abadi sampai ke depan kerana rakyat suka.

"Apa pun, itu saya serahkan kepada pimpinan parti-parti lain, tapi dalam PN, Alhamdulillah keadaan masih kukuh," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Negeri Perlis, Klinik Kesihatan Kampung Gial, di Kangar hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai surat daripada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin berkata semalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bermesyuarat dan kenyataan rasmi berhubung pendirian parti mengenai perkara itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata mesyuarat bersama pimpinan Pas juga telah diadakan dan parti itu telah menyatakan pendirian kukuh untuk terus kekal dalam PN.

"Kita rancang dan akan terus perkukuhkan kerjasama antara parti dengan tumpuan masa depan untuk pilihan raya akan datang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS