Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita MCA buka kelas karate, elak wanita jadi mangsa keganasan
Diterbitkan:  Mar 6, 2021 10:34 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Wanita MCA akan mengadakan kursus karate secara maya bagi meningkatkan keupayaan mempertahankan diri golongan wanita daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Dalam ucapan di perhimpunan agung wanita MCA hari ini, ketuanya Heng Seai Kie berkata, wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan jenayah.

Sehubungan itu, Wanita MCA akan bekerjasama dengan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan sayap wanita pelbagai pertubuhan Cina, untuk mengadakan kelas latihan ‘Karate anti keganasan’ secara percuma secara maya, pada 12 hingga 20 Mac.

"Diharapkan saudari-saudari akan mengambil bahagian. Tidak melawan bukan lagi sifat yang baik, sebaliknya berani melawan mampu menakutkan pemangsa untuk berhenti mengganas malah bertaubat.

"Karate menjadi pilihan kerana ia sesuai dengan sifat wanita, boleh mempergunakan tenaga pihak lawan. Gerakannya pantas, bertenaga dan padu. 

"Tetapi saya sudah berpesan kepada jurulatih supaya berhati-hati ketika memberikan latihan. Sebab saya bimbang anda menyalahkan saya pula nanti kalau ada perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Menurut Heng, statistik Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat mendapati sebanyak 1,986 kes keganasan rumah tangga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac hingga Ogos 2020.

Angka itu bertambah 53 peratus daripada purata sebelum PKP.

"Lebih 80 peratus daripada mangsa terdiri daripada wanita, dan 90 peratus pemangsa adalah ahli keluarga terdekat yang tinggal sebumbung," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita (Lawa) MCA membentuk sebuah jawatankuasa perundingan perundangan yang dianggotai 19 peguam berpengalaman pada September lepas.

Lawa katanya berkolaborasi dengan empat kementerian dan empat NGO bagi mengadakan program ‘Katakan Tidak kepada keganasan rumah tangga’ di seluruh negara.

"Program ini menawarkan perkhidmatan sehenti kepada mangsa-mangsa wanita pelbagai kaum, termasuk perundingan guaman percuma, permohonan habeas corpus (satu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah bagi mengarahkan mana-mana orang yang ditahan untuk dibawa ke Mahkamah)," kata Heng.

Lihat Komen
ADS