mk-logo
Berita
PH mahu taklimat program vaksin dibentang di parlimen
Diterbitkan:  Mar 8, 2021 11:02 AM
Dikemaskini: 3:02 AM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memberi taklimat kepada semua ahli parlimen pembangkang mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di parlimen pada 18 Mac.

Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, ini bercanggah dengan dakwaan Khairy bahawa tiada respons diberikan oleh Anwar berhubung taklimat kepada ketua pembangkang itu dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

"Saya ambil maklum ciapan YB Khairy Jamaluddin pada 7 Mac yang merujuk surat beliau kepada ketua Pembangkang bertarikh 26 Februari, mencadangkan pembentangan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan buat pimpinan utama Pakatan Harapan," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Menurut Fahmi, surat Khairy diterima oleh ibu pejabat PKR pada 2 Mac, dua hari sebelum pertemuan pemimpin PH dengan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, bagi memohon kebenaran agar parlimen bersidang semula pada 18 Mac.

Katanya, ia disusuli mesyuarat Majlis Presiden PH di mana pimpinannnya bersetuju taklimat tersebut tidak dikhususkan buat pimpinan utama sahaja tetapi diberi kepada semua ahli parlimen pembangkang di parlimen pada 18 Mac. 

"Ini untuk memastikan semua ahli parlimen pembangkang akan dapat bersama membantu usaha memerangi Covid-19, termasuk dalam isu program imunisasi ini," jelasnya.

katanya, keputusan itu disampaikan kepada Khairy dalam surat bertarikh 6 Mac oleh Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail.

"Keadilan dan seluruh blok pembangkang bersedia memainkan peranan kami dalam perang 'Covid-19' ini dan kami menunggu taklimat dan perbincangan dengan YB Khairy pada 18 Mac, InsyaAllah," katanya.

Tarikh persidangan parlimen berikutnya masih belum diumumkan, walaupun Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari memutuskan bahawa parlimen boleh bersidang semula dalam tempoh Darurat.

Lihat Komen
ADS