Bekas pemimpin Umno, Khairuddin Abu Hassan akan mengetahui sama ada dia akan mendapat kebenaran mahkamah untuk mencabar dan mendesak peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana mnteri pada 27 April.

Ini susulan tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menetapkan tarikh keputusan untuk permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Khairuddin, yang juga adalah penyokong tegar kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Khairuddin memohon untuk memulakan semakan kehakiman untuk mengarahkan Peguam Negara Idrus Harun agar menasihati Muhyiddin supaya meletak jawatan sebagai perdana menteri. Ini kerana Muhyiddin dikatakan telah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen.

Pemohon berpendapat bahawa Muhyiddin tidak lagi menikmati sokongan majoriti ahli parlimen apabila Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari dengan tujuan menasihati Seri Paduka Baginda untuk menitahkan pengisytiharan darurat.

Idrus adalah sebahagian daripada rombongan yang mengiringi Muhyiddin ke Istana pada hari tersebut.

Tindakan undang-undang ini adalah berbeza daripada cabaran undang-undang yang dikemukakan berhubung nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat yang dikuatkuasakan ketika ini.

Terdahulu hari ini, hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh keputusan setelah mendengar hujah dari peguam kedua-dua pihak.

Ketika dihubungi, peguam Khairuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengesahkan bahawa hakim menetapkan tarikh keputusan pada 27 April.

Peguam kanan persekutuan S Narkunavathy mengetuai pasukan dari Jabatan Peguam Negara (AGC), yang juga mewakili responden Idrus dalam tindakan undang-undang tersebut.

Pada Februari lalu, Khairuddin memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah bagi mengarahkan Idrus menasihati Muhyiddin Yassin supaya meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Berdasarkan salinan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu, Khairuddin meminta perintah mandamus ke atas Idrus selaku responden untuk menasihati Muhyiddin menghadap Seri Paduka untuk meletakkan jawatannya selaku perdana menteri.

Dia mendakwa Idrus telah gagal melaksanakan tanggungjawab yang berkewajipan sebagai peguam negara untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong pada 9 Januari bahawa Muhyiddin sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli parlimen, dan oleh itu, katanya, tidak lagi berkelayakan memberi apa-apa nasihat sebagai perdana menteri kepada Seri Paduka.

[Baca berita penuh]