Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kongres kebangsaan DAP diadakan sebelum 30 Jun
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 7:27 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Kongres Kebangsaan DAP akan diadakan sebelum 30 Jun iaitu selepas semua konvensyen biasa negeri selesai dilaksanakan, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata konvensyen biasa negeri akan berlangsung mengikut jadual bermula 14 Mac hingga 5 Jun, selari dengan keputusan kerajaan membenarkan mesyuarat agung tahunan pertubuhan berdaftar diadakan mengikut perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Katanya semua jawatankuasa negeri diarah mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Semua jawatankuasa negeri diarahkan untuk menyediakan tempat persidangan yang besar dan sesuai bagi memenuhi syarat 50 peratus berdasarkan kapasiti saiz tempat mesyuarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Konvensyen biasa negeri yang pertama akan diadakan di Perak pada 14 Mac diikuti Kedah pada 19 Mac, Pulau Pinang 21 Mac, Terengganu 26 Mac, Pahang 28 Mac, Kelantan 9 April, Negeri Sembilan 11 April, Melaka 18 April, Kuala Lumpur 25 April, Sarawak 1 Mei, Johor 2 Mei, Wilayah Persekutuan Labuan 22 Mei, Sabah 23 Mei, Perlis 30 Mei dan Selangor 5 Jun.

Loke berkata cawangan-cawangan DAP negeri yang layak menghantar wakil ke konvensyen itu mesti memenuhi syarat yang ditetapkan mereka iaitu cawangan bertaraf sijil A atau cawangan baru yang mengadakan mesyuarat agung tahunan sebelum 30 Sept 2020 serta semua dokumen mesyuarat yang lengkap dihantar ke Ibu Pejabat DAP Kebangsaan sebelum 15 Okt 2020.

Sementara itu proses pencalonan untuk pemilihan ke jawatankuasa negeri sedang dijalankan dan senarai calon yang layak bertanding akan dihantar kepada setiap wakil mengikut syarat-syarat dalam perlembagaan parti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS