Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salahuddin: PH tak boleh lagi terima ahli lompat dari parti kawan
Diterbitkan:  Mar 10, 2021 8:52 AM
Dikemaskini: 12:52 AM

Majlis Presiden PH sudah membuat ketetapan mana-mana parti gabungannya tidak boleh menerima ahli parti gabungan yang lain, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Dia yang juga naib presiden Majlis Presiden PH dipetik TMI berkata PH turut memutuskan kerusi yang dimenangi wakil rakyat PH yang melompat ke parti lain dalam PH akan kekal ditandingi oleh parti asal.

“Dalam mesyuarat majlis presiden terbaru, satu keputusan penting dibuat, pada prinsipnya PH tak boleh terima ahli parti kawan untuk masuk ke dalam parti kawan yang lain.

"Itu untuk memelihara keharmonian dan persahabatan dalam PH," katanya.

Dalam tempoh enam bulan ini, lima wakil rakyat Amanah telah menyertai PKR.

Lima Adun daripada Amanah, masing-masing tiga di Johor dan dua di Selangor bertindak melompat parti.

Mereka ialah Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim, Adun Serom, Faizul Amri Adnan dan Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit di Johor, serta Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman di Selangor.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Adun Simpang Jeram turut dipetik TMI berkata Amanah berharap dapat bertanding lebih banyak kerusi parlimen dan DUN pada PRU15.

“Dalam PRU14 kita tanding 27 kerusi demikian juga DUN, kita akan pastikan bertambah, bukan sekadar tambah, kita akan pastikan kerusi ditandingi boleh menang.

“Kalau parlimen kita menang sebelas (kerusi) pada PRU14, akan datang kita sasar menang lebih daripada itu.

“Inilah antara pendekatan penting untuk pastikan Amanah dapat posisikan kedudukan kita bersama rakan lain dalam PH,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS