Tangkak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini iaitu 160 susulan terdapat kebakaran sisa pokok dan sampah di hadapan stesen IPU berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata Majlis Daerah Tangkak sedang melakukan kerja pemadaman dan pembersihan tapak dengan menimbus kawasan berkenaan dengan tanah.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Muar akan terus melakukan pemantauan lanjut walaupun status semasa adalah tiada lagi api dan asap di tapak berkenaan, katanya dalam kenyataan di Johor Bahru.

Selain itu, katanya, JAS negeri menerima 213 aduan berkaitan pembakaran terbuka sejak 1 Jan lalu sehingga semalam.

“JAS bersama agensi berkaitan melaksanakan beberapa tindakan mencegah pembakaran terbuka seperti rondaan fizikal, pemantauan udara menggunakan dron di kawasan berisiko terbakar dan mudah terbakar seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah,” katanya.

- Bernama