Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Dakwaan jadi 'senjata politik' tohmahan tak berasas
Diterbitkan:  Mar 6, 2021 3:47 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan gabungan beberapa parti politik bahawa suruhanjaya itu dijadikan sebagai 'senjata politik' dalam melaksanakan tindakannya.

"Ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah agensi penyiasatan yang bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik.

"Tohmahan tersebut dianggap sebagai tidak berasas serta tidak bertanggungjawab kerana perkara itu boleh menjejaskan imej SPRM sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan bersama dengan mendakwa kerajaan Perikatan Nasional menyalahgunakan agensi kerajaan persekutuan untuk "menekan" ahli politik pembangkang bagi menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

"Majlis Presiden Pakatan Harapan dimaklumkan tentang siri tindakan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap ahli-ahli parlimen pembangkang, pegawai-pegawai malah juga ahli-ahli keluarga mereka.

"Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk ahli-ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," dakwanya.

PH mendakwa tekanan seumpama itu turut dilakukan terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar; Ahli parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong.

Sng dan Choong mengumumkan keluar daripada PKR pada 28 Februari lalu bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN.

SPRM sebelum ini turut menahan seorang pemimpin PKR Perak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Xavier. 

Individu berkenaan didakwa menerima sogokan untuk projek kerajaan pada tahun 2019.

Lihat Komen
ADS