Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Menteri beri isyarat bercanggah mengenai ordinan berita palsu
Diterbitkan:  Mar 14, 2021 9:59 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan kenyataan bercanggah menteri mengenai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk memerangi "berita palsu".

Lim berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah memberi jaminan kerajaan akan membezakan kritikan dan berita palsu, namun menteri undang-undang Takiyuddin Hassan memberikan mesej sebaliknya.

Takiyuddin pada Jumaat lalu berkata, dakwaan bahawa kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana hilang majoriti di Dewan Rakyat juga boleh dianggap melanggar ordinan darurat berkenaan berita palsu.

"Yang mana satu yang betul? Saifuddin atau Takiyuddin?" Soal Lim dalam satu kenyataan.

Pendirian rasmi kerajaan adalah bahawa pengisytiharan darurat yang berkuatkuasa 11 Januari lalu bertujuan untuk memerangi Covid-19.

Darurat juga digunakan untuk menggubal undang-undang termasuk ordinan berita palsu tanpa melalui persidangan parlimen.

Semasa darurat, parlimen digantung sehingga Ogos.

Pengkritik berkata takrifan yang tidak jelas tentang "berita palsu" dalam ordinan tersebut, yang memperuntukkan denda hingga RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, boleh menyebabkan ia disalah guna.

Lim, dalam kenyataannya hari ini berkata Peguam Negara Idrus Harun harus memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

"Jaminan oleh Saifuddin bahawa tujuan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 bukanlah untuk mengekang kebebasan media dan menghalang mana-mana pihak daripada mengkritik kerajaan tidak mempunyai sebarang nilai, melainkan sekiranya Peguam Negara menjelaskan pendiriannya sama ada beliau akan mendakwa mana-mana orang di bawah Ordinan Darurat berita palsu kerana menuduh bahawa pengisytiharan darurat dibuat kerana Muhyiddin telah kehilangan majoriti di Parlimen," katanya.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen
ADS