Malaysiakini
BERITA

'Dakwa darurat diisytihar sebab k'jaan hilang majoriti adalah berita palsu'

Alyaa Alhadjri & Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Mac 2021, 3:50 petang

Tindakan mendakwa kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana telah hilang majoriti di di Dewan Rakyat boleh dianggap melanggar ordinan darurat berkenaan berita palsu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

"Ia satu kesalahan, bagi saya ia satu kesalahan," katanya ketika sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah di Putrajaya hari ini.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya jika dakwaan sejumlah pihak yang kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana ia telah hilang majoriti boleh dianggap sebagai berita palsu.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini.

Ordinan itu untuk mengekang "berita tidak benar" berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat yang membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pengisytiharan dibuat bagi mengekang peningkatan kes Covid-19. Ketika itu, terdapat sekitar 2,000 hingga 3,000 kes baru dilaporkan setiap hari.

Bagaimanapun, sejumlah pihak mengisytiharkan mengapa Parlimen turut digantung sepanjang tempoh penguatkuasaannya, lebih-lebih lagi setelah perniagaan dan sekolah telah diteruskan semula.

Pengisytiharan darurat dibuat dua hari selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen Machang daripada Umno, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongannya.

Pada hari pengisytiharan pula, seorang lagi ahli Parlimen Umno Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) turut mengambil langkah sama.

Bagaimanapun kerajaan telah mendapat sokongan dua ahli Parlimen PKR, iaitu Steven Choong dan Larry Sng, bagi menampung kehilangan sokongannya, selepas Sultan Abdullah bertitah yang Parlimen boleh bersidang ketika darurat.

Menurut Takiyuddin, Agong telah mengisytiharkan darurat atas nasihat jemaah menteri, dan ia adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Takiyuddin dan Saifuddin menegaskan di bawah ordinan ini, tujuan menyebarkan berita palsu mesti dibuktikan terlebih dahulu sebelum tertuduh boleh disabit bersalah.

Saifuddin turut memberi satu lagi contoh berita palsu yang boleh disabitkan, iaitu mendakwa ada individu yang mati selepas menerima vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, bertentangan dengan laporan yang membangkitkan undi maksimum RM100,000 di bawah ordinan itu, hakim mahkamah sesyen yang mendengar kes ada budi bicara.

Katanya lagi, hakim malah boleh hanya memberi amaran kepada tertuduh.

"Ordinan hanya menyatakan hukuman maksimum, bermakna hakim boleh menentukan jumlahnya," katanya lagi.

Selain denda maksimum RM100,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun, pesalah juga boleh didenda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.