Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dilabel pelacur politik, Hadi serah orang ramai nilai PAS
Diterbitkan:  Mar 14, 2021 6:33 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai sendiri parti itu seleias ia dilabelkan sebagai "pelacur politik" oleh seorang ahli parlimen veteran Umno.

Enggan mengulas lebih lanjut semasa ditanya wartawan, Abdul Hadi sekadar berkata: "Itu terpulanglah kepada orang ramai menilai."

Dia juga menyatakan PAS tidak peduli dengan gelaran yang diberikan kerana apa yang penting ialah parti itu meneruskan agenda yang ditetapkan.

"Itu (ikut) suka oranglah nak beri nama pada kita, kerja kita orang nak kata apa pun kita teruskan (kerja)," katanya selepas selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering, Kuala Terengganu hari ini.

Pada 12 Mac lalu Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah menggelar PAS sebagai "pelacur politik" dan perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata ahli parlimen Gua Musang itu lagi tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.

“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yang undi kita (Umno).

"Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.

"PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46," katanya. 

Untuk rekod Tengku Razaleigh bukanlah asing kepada PAS. Semasa mengetuai parti Semangat 46 dia pernah bekerjasama dengan PAS selama beberapa tahun.

Kerjasama itu menyaksikan pakatan mereka menguasai Kelantan pada 1990. Sejak itu Kelantan berada di bawah pentadbiran PAS manakala Semangat dibubarkan.

Abdul Hadi menegaskan tugas PAS kini adalah untuk menyatukan ummah dan ia bukan hanya melibatkan hubungan mereka dengan Umno.

"Kita nak menyatukan ummah. Ummah ini yang pertama orang Islam, yang kedua manusia.

"Kita nak satukan, mana yang ekstrem kita tolak. Nak satukan ummah ini bukan PAS dan Umno saja, semua sekali," katanya.

Lihat Komen
ADS