Johari nafi berlaku politik wang di Kubang Pasu
Ketua Umno bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa berlaku politik wang dalam pemilihan perwakilan bahagian itu Sabtu lalu.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang aduan mengenai rasuah atau politik wang dari mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut.
"Dakwaan berlakunya politik wang itu adalah tidak betul," tegas Johari dalam sidang media di lobi bangunan parlimen hari ini.
"RM200 tidak boleh membeli undi untuk menolak Tun (Mahathir). Saya tidak fikir nilai perwakilan Umno Kubang Pasu begitu murah," katanya yang merupakan bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir.
Johari yang kini merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri mengulas dakwaan Dr Mahathir semalam yang mendakwa para perwakilan di bahagian berkenaan telah "dibeli" dengan rasuah antara RM200-RM300 seorang.
Bekas Perdana Menteri yang sedang berkrisis dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu gagal dalam percubaannya untuk menjadi perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno November depan.
Dalam pemilihan Sabtu lalu, Dr Mahathir hanya mendapat 227 undi untuk menduduki tempat kesembilan.
Dr Mahathir menyalahkan amalan politik wang sebagai punca kekalahannya itu. Beliau juga mendakwa satu senarai calon pilihan yang tidak termasuk namanya dan anaknya, Datuk Mukhriz telah diedarkan bagi memastikan beliau tidak terpilih.
Johari juga berkata, amalan menyediakan senarai calon pilihan adalah perkara biasa dan menjadi amalan dalam mana-mana pilihanraya.
Menurutnya lagi, isu politik wang ini timbul sebagai satu propaganda oleh para penyokong Dr Mahathir.
"Bagi saya pemilihan sudah berakhir dan Tun telahpun menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Sebenarnya Tun tak ada apa, cuma para penyokongnya yang lebih-lebih," tambahnya.
Johari juga menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa Majlis Tertinggi Umno telah mengarahkannya menghalang Dr Mahathir daripada bertanding menjadi perwakilan bahagian berkenaan. Berita asal

