Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan DAP Perak: Loke kata dakwaan 'pengundi hantu' tidak berasas
Diterbitkan:  Mar 15, 2021 9:46 AM
Dikemaskini: 1:46 AM

Semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu dan dakwaan berkenaan “pengundi hantu” adalah tidak berasas sama sekali, kata setiausaha organisasi kebangsaan DAP, Anthony Loke.

"Saya berasa amat kesal terhadap kekecohan yang berlaku dalam Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak yang berlangsung semalam. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana persidangan parti DAP.

"Saya ingin menegaskan bahawa semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.

"Justeru itu, dakwaan berkenaan 'pengundi hantu' adalah tidak berasas sama sekali," kata Loke dalam kenyataan media hari ini.

Dia berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Timbalan Ketua Pemuda DAP Chiong Yoke Kong yang ditugaskan untuk mengawasi pemilihan parti itu.

Chiong semalam berkata bahawa tuduhan 'pengundi hantu' yang dibuat oleh kem Naib Pengerusi Kebangsaan DAP M Kulasegaran dan sekutunya Thomas Su adalah tidak berasas.

Awal semalam, kem Kula-Su menuduh jawatankuasa yang mengendalikan pemilihan masih meminta perwakilan menghadiri konvensyen meskipun waktu pendaftaran sudah berakhir.

Mereka menunjukkan beberapa perwakilan terlihat memakai tanda nama bertulisan tangan dan bukannya pengenalan cetakan komputer.

Sebilangan penyokong kem itu juga menjerit "pengundi hantu" semasa kekecohan ketika pemilihan sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Chiong memberitahu Malaysiakini tanda nama bertulisan tangan hanya digunakan atas alasan teknikal, untuk menggantikan tanda nama yang disalah cetak.

Loke berkata, senarai perwakilan untuk konvensyen negeri disahkan oleh bahagian organisasi di Ibu Pejabat DAP.

Dia menambah bahawa pengurus pilihan raya untuk konvensyen negeri dilantik oleh Ibu Pejabat DAP dan biasanya merupakan pemimpin dari negeri lain yang tidak berminat dalam proses pemilihan di negeri itu.

Chiong adalah Adun Tanah Rata di Pahang.

"Setiap wakil yang layak untuk hadir ke Konvensyen Biasa Negeri berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh Pengurus Pemilihan (Returning Officer).

"Sebelum seseorang wakil mendapat kertas undi mereka, kad pengenalan mereka akan diperiksa dan disahkan butirannya mengikut senarai perwakilan," katanya.

Tambahnya, semua jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab untuk menguruskan logistik untuk Konvensyen Biasa Negeri juga perlu mematuhi segala tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Organisasi Kebangsaan.

"Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka. Setiap ahli DAP juga perlu sentiasa menjunjung Perlembagaan Parti yang menjadi asas kepada perjalanan dan fungsi parti," kata Loke yang juga ahli parlimen Seremban.

Kulasegaran dan Su mencabar kem Nga Kor Ming dan sepupunya, Ngeh Khoo Ham dalam pemilihan DAP negeri Perak.

Namun, pasukan Nga-Ngeh menyapu bersih dengan memenangi kesemua 15 jawatan dipertandingkan.

Lihat Komen
ADS