Malaysiakini
BERITA

'Tiada kerjasama, Anwar nak canang, terpulanglah'

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Mac 2021, 5:42 pagi

Umno masih berpegang pada ketetapan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PKR seperti mana yang diputuskan majlis pimpinan tertinggi parti itu, kata ketua penerangannya, Shahril Hamdan.

Justeru, menurutnya, terpulang kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mencanangkan kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno.

"Keputusan dasar perhimpunan agung Umno 2019 masih terpakai dan kenyataan semua pemimpin tertinggi Umno berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP.

"Menolak kerjasama dengan Bersatu tak bermaksud mesti terus bersama dengan orang lain.

"Hakikatnya, Majlis Tertinggi (MT) (Umno) belum pernah mengubah keputusan dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar dan Presiden Umno Zahid Hamidi di parlimen pada 2018

Terdahulu Anwar mendakwa bahawa terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan Umno mengenai kemungkinan kerjasama untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Anwar mengumumkan bahawa dia akan mengadakan sidang media hari ini pada pukul 4.30 petang di mana dia dijangka akan menyentuh isu tersebut.

Dia juga dijangka mengulas mengenai tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti baru-baru ini.

Difahamkan, kedua-dua parti tidak berpuas hati dengan parti Bersatu yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menerima penyertaan sejumlah anggota parlimen yang berpaling tadah dari Umno dan PKR.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Anwar berkata bahawa kerjasama itu tidak lebih daripada sekadar untuk menyelamatkan negara daripada kebobrokan.

Menari ikut rentak orang

Dalam pada itu, Shahril berkata Umno tidak boleh menari dengan mengikut rentak orang lain.

Sebaliknya parti itu perlu memberi fokus pada pengukuhan dalamannya serta menarik sokongan rakyat kepada Umno.

"Jika Anwar masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno, itu adalah hak beliau untuk bercakap sepertimana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.

"Kita tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, di samping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat.

"Matlamat parti tentunya untuk memenangi sokongan rakyat dengan tawaran dan visi yang lebih baik dari pesaing kita," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.