Dua rakyat Malaysia yang disyaki pengganas dan dikaitkan dengan pergerakan Jemaah Islamiah (JI) dan Al Qaeda, ditahan di fasiliti tahanan maksimum di pengkalan tentera Amerika di Teluk Guantanamo, Cuba, kata satu sumber.

Rakyat Malaysia itu adalah antara 12 orang lagi yang disyaki pengganas yang dipindahkan dari kem tahanan rahsia CIA ke kem berkenaan baru-baru ini.

Mereka dikenalpasti sebagai Mohd Farik bin Amin atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir bin Lep atau Bashir bin Lep (Lillie). Kedua-dua mereka ditahan bersama pemimpin utama JI, Hambali (foto kanan) pada tahun 2003.

Menurut laporan Bernama, White House mendakwa kedua-dua mereka dipilih oleh Hambali sekitar November 2001, untuk menjadi penyerang berani mati bagi serangan `gelombang kedua' Al Qaeda yang mensasarkan Los Angeles.

Sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu memberitahu bahawa belum ada pendakwaan dikenakan terhadap kedua-dua mereka dan lain-lain orang tahanan berprofil tinggi termasuk Hambali, Khalid Sheikh Mohammed, Abu Zubaydah, dan Ramzi bin Al-Shibh, yang dibawa ke Guantanamo baru-baru ini di bawah kawalan Jabatan Pertahanan Amerika.

Menurut sumber itu, semua mereka mungkin tidak akan dibicarakan tahun ini memandangkan suruhanjaya ketenteraan "bagi mendakwa pengganas yang terbabit dengan jenayah perang" yang dicadangkan pentadbiran Bush masih belum diwujudkan.

Beliau menjelaskan bahawa draf perundangan yang ditampilkan White House itu baru diperkenalkan minggu lepas oleh Presiden George W Bush, dan ia masih belum dibahas untuk kelulusan kabinet.

"Semua tahanan itu akan ditahan di Gitmo sehingga tamat tahap berbahaya dalam peperangan global membanteras keganasan, atau sehingga keputusan tentang perbicaraan itu dikemukakan," katanya.

"Semasa aspek perundangan itu berada dalam proses untuk diluluskan, kita akan bertindak segera melaksanakan prosiding, dan mereka dijamin akan menjalani perbicaraan yang bebas dan adil," katanya.

Suruhanjaya tentera

Beliau berkata perbicaraan itu akan dibuka kepada jumlah anggota dan media yang terhad.

Bush sebelum ini dilaporkan berkata sebaik sahaja Kongres memberi kuasa kepada suruhanjaya ketenteraan yang dicadangkan itu, tahanan-tahanan terbabit, yang disahkan oleh pegawai risik Amerika sebagai perancang serangan pada 11 September 2001 yang mengorbankan 3,000 nyawa rakyat Amerika itu, boleh dibawa ke muka pengadilan.

"Semasa kita melaksanakan pendakwaan, kita akan terus menggesa negara-negara di seluruh dunia untuk mengambil kambali rakyat mereka di Guantanamo yang tidak akan didakwa oleh Jawatankuasa Ketenteraan. Amerika tidak berhasrat menjadi badan penjara dunia," katanya.

Bagaimanapun 770 orang yang disyaki pengganas sudah dihantar ke Guantanamo sejak 2002 dan dari jumlah itu, kira-kira 315 sudah kembali ke negara asal masing-masing sehingga kini, dan kira-kira 455 lagi masih ditahan.

Tahanan yang baru berpindah itu besar kemungkinan akan ditahan di Kem 5, penjara dengan kawalan maksimum di Gitmo, bangunan baru yang moden khusus untuk tahanan yang enggan bekerjasama.

Bangunan itu berwarna putih tanpa reka bentuk khusus dengan dinding tebal tanpa tingkap, dan setiap tahanan di penjara sepanjang hari di ruang empat segi lagi sempit, di belakang pintu besi yang tebal.

Zubair, Lillie dan selainnya dijangka berpuasa di bulan Ramadan dan berhari raya dalam kawasan tahanan maksimum itu.

Mereka diberi makan makanan halal dan diberi peluang bersembahyang, berpuasa serta bersembahyang tarrawih semasa bulan Ramadan.

Sebagai tahanan di Gitmo, mereka dibekalkan dengan satu set pakaian, sepasang kasut dan selipar, tuala, tilam, kain selimut dan tikar sembahyang, serta senaskah Al-Quran dan tasbih. Satu lakaran anak panah yang menunjukkan arah kiblat disertakan di lantai sel atau di kerangka katil.

Pendedahan kepada dunia luar amat terbatas, dan belum pernah ada laporan mengenai tahanan yang melarikan diri, namun ada beberapa kes mengenai kejadian bunuh diri ekoran masalah mental.

Tahanan di Kem 5 itu hanya diberikan masa selama 30 minit untuk waktu rekreasi dalam satu ruang khas selama tiga kali seminggu.

Menurut White House, Zubair, graduan telekomunikasi elektronik dari sebuah universiti di Malaysia, berkhidmat terus di bawah perancang operasi JI, Hambali.

Sebagai salah seorang petugas yang amat dipercayai Hambali, Zubair membantu dalam operasi-operasi Hambali, sehingga beliau ditahan pada tahun 2003.

Semangat jihad

Hambali pada November 2001 memilih Zubair untuk menjadi operatif berani mati bagi serangan Al Qaeda yang mensasarkan Los Angeles. Menurut White House, Zubair memainkan peranan memindahkan wang yang digunakan bagi membiayai serangan pengganas di Asia Tenggara dari ketua operasi Al Qaeda Khalid Sheikh Muhammad kepada Hambali. Zubair menerima latihan taktik perang dan senjata ringan di Kem al Faruq milik Al Qaeda di Afghanistan pada tahun 2000 dan sekali lagi pada tahun 2001.

Semasa belajar untuk memperolehi segulung ijazah di universiti di Malaysia, beliau bertemu dengan seorang lagi rakan pelajar, Bashir bin Lap (juga dikenali sebagai Lillie), yang merupakan leftenan Hambali, yang ditahan bersama Hambali pada tahun 2003.

Lillie, graduan bidang arkitek dari Malaysia pada pertengahan tahun 90an, mengendalikan perpindahan dana Al Qaeda yang digunakan bagi pengeboman Hotel Mariott Jakarta pada tahun 2003, dan tahu tentang sasaran-sasaran JI, serta merancang untuk menyerang satu lagi sasaran di Asia Tenggara.

Menurut White House, Lillie terbabit dalam rancangan JI menyerang pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Phnom Penh, Kemboja, dan kes serangan pada pertengahan tahun 2002 di Bangkok serta Pattaya, Thailand, atas arahan Hambali.

Lillie berminat dengan idea syahid dan dijangka menjadi operatif berani mati bagi satu rancangan menyerang Los Angeles.

White House berkata Lillie juga mempunyai hubungan dengan pakar bom JI, Dr Azhari bin Husin yang sudah meninggal dunia. Pada tahun 2002 beliau menerima latihan membuat bom dari Azahari.

Beliau dikatakan pernah berada di Kandahar, Afghanistan pada tahun 2000, dan menerima latihan di kem al-Faruq Al Qaeda dalam bidang senjata dan letupan.