Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rundingan PKR-Umno untuk rampas kerusi Bersatu, kata sumber

Tidak banyak yang diketahui mengenai rundingan tidak rasmi yang berlangsung di antara PKR dengan Umno setakat ini. Malah beberapa anggota Majlis Tertinggi Umno yang dihubungi Malaysiakini tidak mengetahui apa-apa mengenai rundingan berkenaan.

Di sebalik sedikit butiran yang diketahui di sana sini, bagaimanapun sumber dari PKR memberikan bayangan rundingan tersebut bermatlamatkan satu perkara.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang kedua-dua parti dikatakan mencari titik persefahaman bagi mengelakkan bertembung di antara satu sama lain di kerusi yang sedang diwakili Bersatu.

"Sudah pasti ini dibuat untuk mencari jalan agar tiada pertembungan (di kerusi Bersatu)," kata satu sumber PKR kepada Malaysiakini.

Dua sumber lain dari parti itu turut memberi bayangan serupa.

Ketika ini daripada 31 ahli parlimen Bersatu, 25 daripadanya berasal dari parti lain, termasuk 15 yang memenangi kerusi mereka atas tiket Umno/BN.

Sepuluh lagi merupakan calon PKR/Pakatan Harapan (PH) yang kemudian berpaling tadah.

Ada dua lagi ahli parlimen yang memenangi kerusi mereka dalam PRU ke-14 lalu menggunakan lambang PKR namun kini menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Macam-macam boleh berlaku

Jika Umno dan PKR dapat mengelak daripada bertembung di antara satu sama lain di kawasan Bersatu, peluang untuk mereka merampas kembali kerusi tersebut akan menjadi lebih cerah.

Ia sekali gus menyukarkan Bersatu mempertahankan kerusi mereka.

Namun setakat ini tidak dapat dipastikan persefahaman sebegitu akan diperluas ke kerusi yang sedang diwakili PKR dan Umno, termasuk bagi kawasan parlimen Johor Bahru dan Tangga Batu.

Kedua-dua kerusi tersebut asalnya memang kawasan Umno namun dimenangi PKR dalam PRU lalu.

Jika ia disepakati dan dengan andaian kedua-dua parti menguasai semula kerusi yang dimenangi mereka dalam PRU 2018 dan sebelum berlakunya ahli parlimen melompat keluar, PKR akan memiliki 47 kerusi manakala Umno 53 kerusi.

Namun ada satu masalah. Menurut sumber PH, mandat yang diberikan kepada PKR untuk berunding dengan Umno hanya terhad kepada kerjasama bagi mendapatkan semula Putrajaya pada waktu sekarang, bukannya untuk PRU ke-15.

"Pendirian PH setakat ini (mengenai rundingan dengan Umno) ialah, ia tidak membabitkan kerjasama pada PRU akan datang," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Hal itu turut ditegaskan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

"Untuk rundingan dengan parti lain (syarat Majlis Presiden PH) ialah mengembalikan mandat rakyat, ia tidak termasuk PRU ke-15," katanya semasa dihubungi.

Bagaimanapun Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menjangkakan pada PRU akan datang - yang mesti diadakan suku kedua selewat-lewatnya 2023 - tiada parti tunggal dapat menguasai majoriti di parlimen.

Justeru apa saja kemungkinan boleh berlaku.

"Jika tiada pemenang yang jelas dalam PRU akan datang, anda perlu memikirkan bagaimana untuk membentuk rakan kongsi baru, gabungan baru, dan ia hanya berlaku selepas PRU," katanya.

Beberapa pemimpin PH seperti Loke dan Salahuddin juga menegaskan kerjasama tersebut mestilah tidak membabitkan pemimpin "korup" dalam Umno seperti presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.

Namun dipercayai kumpulan Umno terbabit - dilabel sebagai kluster mahkamah - adalah pihak yang sedang dirundingi oleh PKR dan Anwar Ibrahim.

Lihat Komen
ADS