Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tuduhan Bersatu terima komisen RM500 juta fitnah pembunuhan watak'
Diterbitkan:  Mar 20, 2021 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengecam laporan polis yang mendakwa parti itu menerima komisen RM500 juta kerana membantu Putrajaya mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs berkait skandal kewangan 1MDB.

"Strategi memfitnah memang sudah lama diamalkan oleh parti-parti pembangkang. Nampaknya kini ia diteruskan dengan usaha tersusun untuk mencemar imej baik (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin.

"Hakikatnya Muhyiddin telah membuktikan bahawa beliau seorang perdana menteri yang dihormati kerana beliau tegas memberi tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat.

"Tetapi saingan politik beliau sedang cuba merosakkan imej ini dengan tohmahan yang bertubi-tubi kerana mereka tahu mereka tidak mempunyai calon perdana menteri yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Strategi "pembunuhan watak" ini adalah strategi lama yang tidak akan berjaya, tambah Wan Saiful lagi.

Dia mengulas laporan bahawa pejabat Adun Kuang Sallehudin Amiruddin membuat laporan polis mendesak penyiasatan terhadap dakwaan bahawa berjuta-juta telah dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi.

"Terkini timbul tohmahan mengaitkan Bersatu melantik agen untuk ambil komisen daripada penyelesaian kerajaan dalam kes 1MDB.

"Ada juga tuduhan bahawa kerajaan tidak telus dalam menangani kes 1MDB dan Goldman Sach," katanya lagi.

Wan Saiful berkata dia tertanya-tanya sekiranya "wujud strategi gelap" bersama antara kumpulan penaja parti Pejuang dan DAP untuk menyerang Bersatu.

"Saya adalah ahli Biro Politik Bersatu dan juga ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bersatu. Saya tahu semua ini tidak berlaku.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini. Tidak ada agen yang dilantik. Tidak ada komisen diterima. Ini bukan budaya kami dalam Bersatu.

"Parti ini ditubuhkan untuk memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus. Komitmen kami ialah memastikan kes 1MDB diselesaikan segera, semua yang bersalah menerima keadilan, dan dana negara yang dirompak dikembalikan untuk manfaat rakyat," katanya lagi.

Rakan sekutu Bersatu, Umno sebelum ini diketuai oleh Najib Razak yang disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman atas tuduhan rasuah berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International dan masih menghadapi perbicaraan lanjut berhubung skandal 1MDB.

Lihat Komen
ADS