Mana suara speaker Dewan Rakyat, tanya Yeoh
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mempersoalkan mengapa Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun tidak mempertahankan hak parlimen untuk kembali bersidang ketika aktiviti lain termasuk bazar Ramadan dan kehadiran penonton ke stadium dibenarkan.
Membangkitkan isu jumlah kompaun yang dinaikkan ke RM10,000 seperti dalam Ordinan Darurat, pemimpin DAP itu berkata rakyat akan terus menjadi mangsa apabila ahli parlimen tidak diberikan peluang untuk membahaskan undang-undang yang diperkenalkan kerajaan.
“Kita semua tertanya-tanya di manakah suara speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya menyuarakan dan mempertahankan hak parlimen untuk dibuka dan kembali bersidang.
“Speaker Dewan Rakyat sepatutnya lebih memahami tujuan dan fungsi Dewan Rakyat sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yeoh yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri Selangor menambah apabila ahli-ahli parlimen tidak mempunyai ruang untuk membahaskan undang-undang yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan, akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat.
Hal itu kerana katanya orang awam adalah kumpulan yang terpaksa berdepan dengan keputusan kabinet termasuk mengenai garis panduan kompaun RM10,000.
Menyifatkan pelaksanaan tersebut seperti penguatkuasaan undang-undang separuh masak, Yeoh berkata ia sewajarnya dibahas dan diperhalusi oleh ahli-ahli parlimen terlebih dulu.

“Oleh itu, saya menggesa agar speaker Dewan Rakyat kembali mempertahankan kebebasan parlimen dan hak untuk ahli-ahli parlimen bersidang, berbahas dan menyemak akauntabilti pentadbiran kerajaan yang kini memberi kesan negatif kepada rakyat,” katanya.
Gesaan untuk mengadakan sidang parlimen sudah dibuat sejak peringkat awal pelaksanaan darurat pertengahan Jan lalu. Selain pembangkang ia turut disuarakan pemimpin Umno.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri berpendapat sidang parlimen boleh diadakan walaupun darurat masih berkuat kuasa.
Bagaimanapun setakat ini kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin belum menunjukkan sebarang tanda untuk memberikan nasihat kepada Agong bagi mengadakan sidang parlimen.
Untuk rekod juag pada 17 Feb lalu Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman sendiri menghantar sepucuk surat kepada Peguam Negara Idrus Harun - yang juga abang Azhar - dan menyatakan bahawa cabang legislatif kini dilumpuhkan akibat keputusan eksekutif untuk menggantung parlimen.
Dalam surat itu, Azalina berkata dia bingung mengapa Malaysia sama ada tidak dapat atau tidak mahu berusaha melaksanakan sidang parlimen seperti negara lain, seperti dengan mengurangkan penyertaan ahli parlimen, menggunakan waktu sidang yang anjal, mahupun menyiarkan persidangan kamar khas.
Desakan itu berlaku ketika keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti kian dipertikaikan banyak pihak.

