Bakal jemaah umrah diminta berbincang dengan agensi pelancongan
Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) memohon bakal jemaah yang sudah menempah pakej menunaikan ibadah itu agar berbincang semula dengan agensi pelancongan masing-masing.
Presiden Papuh Razali Mohd Sham menyarankan agar bakal jemaah haji dan umrah membenarkan agensi pelancongan menjadualkan semula tarikh berlepas setelah pintu sempadan negara dibuka.
“Papuh berharap ini akan dapat membantu ahli kami dalam situasi menang-menang.
"Sekiranya pintu sempadan dibuka pada masa terdekat, ini sudah tentu dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh agensi pelancongan masa kini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Razali berkata sebelum Malaysia dilanda pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada Mac tahun lepas, ahli Papuh tidak mempunyai sebarang masalah untuk memasarkan pakej umrah mereka.
“Sebagai agensi pelancongan, sudah tentu setiap pakej yang dibeli akan dikenakan bayaran pendahuluan. Bayaran pendahuluan yang diterima daripada jemaah ini lazimnya digunakan untuk pembayaran tempahan tiket penerbangan dan tempat penginapan di Makkah dan Madinah,” katanya.
Razali berkata pandemik Covid-19 menghentikan segala bentuk perniagaan pelancongan termasuk haji dan umrah dan ini tentu melibatkan ahli Papuh dan bakal jemaah yang telah menempah pakej umrah dari Mac hingga Jun 2020.
“Sebagai agensi pelancongan, sudah tentu tidak dapat membuat apa-apa setelah perniagaan mereka terhenti akibat pandemik Covid-19, bayaran penuh dan deposit telah pun dibuat kepada syarikat penerbangan, tempat penginapan serta bayaran visa.
“Rata-Rata ahli menggunakan tempat penginapan bertaraf tiga bintang di Makkah dan Madinah dan pada masa sekarang tempat penginapan ini tidak boleh beroperasi malah ada antaranya menutup operasi mereka,” katanya.
Dia berkata ada antara pengusaha tempat penginapan di Makkah dan Madinah serta syarikat penerbangan yang tidak memulangkan bayaran sebaliknya meminta agensi pelancongan menggunakannya untuk tempahan akan datang apabila situasi Covid-19 reda.
Oleh itu, Papuh memohon mana-mana kementerian atau agensi kerajaan tampil membantu ahlinya menyelesaikan masalah tersebut.
- Bernama

