Tengku Razaleigh Hamzah berkata Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya menang mudah dalam pemilihan perwakilan bahagian Kubang Pasu Sabtu lalu jika tiada campurtangan dari pihak yang berkuasa dalam Umno ketika ini.

"Melihat pada cara mereka berkempen, memang susah Dr Mahathir nak menang. Saya rasa mereka memang benar-benar mahu Dr Mahathir kalah,' katanya kepada media di Parlimen hari ini.

"Kalau tidak macam mana seorang pemimpin yang telah membawa pembangunan selama 30 tahun ke Kubang Pasu, seorang bekas Perdana Menteri yang telah membangunkan negara ini secara tiba-tiba sahaja diketepikan oleh rakyatnya."

"Ini amat mengejutkan. Saya tidak rasa rakyat Malaysia orang yang tidak mengenang budi. Lagipun beliau hanya mahu menjadi perwakilan ke perhimpunan agung, bukannya hendak menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sekali lagi," kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

"Dr Mahathir sepatutnya menang mudah. Dia bukan sahaja pemimpin yang hebat tetapi seorang tokoh dunia yang terkenal," katanya sambil menekankan wujudnya pengaruh lain yang menyebabkan Dr Mahathir kalah.

Tengku Razaleigh satu-satunya tokoh yang pernah mencabar Dr Mahathir bagi jawatan Presiden Umno pada tahun 1987 tetapi ditewaskan oleh bekas Perdana Menteri itu dengan majoriti undi 43 sahaja.

Ekoran pemilihan pucuk tertinggi Umno yang sengit itu, Umno telah diheret ke mahkamah dan diisytiharkan sebagai pertubuhan haram. Selepas krisis itu, Tengku Razaleigh menubuhkan parti Melayu Semangat 46 yang kini sudah dibubarkan.

Dalan pemilihan Sabtu lalu Dr Mahathir menduduki tempat kesembilan daripada 15 calon dengan meraih 227 undi.

Politik wang

Hanya tujuh calon yang mendapat undi tertinggi layak menghadiri perhimpunan agung Umno November depan bersama enam perwakilan lain yang terdiri daripada pucuk pimpinan bahagian.

Dr Mahathir mendakwa antara punca kekalahannya ialah amalan politik wang dan penggunaan jentera kerajaan yang berlebihan serta campurtangan dari Umno Pusat.

Mengulas dakwaan Dr Mahathir itu, Tengku Razaleigh berkata, bekas Presiden Umno itu perlu membuat aduan kepada lembaga disiplin parti walaupun beliau mempunyai alasan untuk tidak mempercayai proses dan keputusan yang dibuat oleh lembaga tersebut.

Isnin lalu, Dr Mahathir berkata beliau mencurigai lembaga disiplin itu kerana salah seorang anggotanya, Tan Sri Osman Aroff telah berkempen menentangnya di Kubang Pasu minggu lalu.

Ditanya sama ada kekalahan di Kubang Pasu itu merupakan tamparan teruk kepada karier politik Dr Mahathir yang gemilang, Tengku Razaleigh menjawab: "Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan berhenti mengkritik kerajaan. Ini bererti kekalahan itu bukan pukulan maut untuk beliau."

Tengku Razaleigh juga berpendapat, pucuk pimpinan Umno sekarang tidak perlu takut dengan bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya satu kongrers khas patut diadakan untuk memberi peluang kepada beliau bercakap dengan ahli-ahli Umno.

"Melalui kongres khas itu, ahli-ahli Umno boleh menilai sendiri sama ada mahu menerima atau menolak hujah-hujah Dr Mahathir," tambahnya.

Tengku Razaleigh juga berharap Dr Mahathir dan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi dapat bertemu menyelesaikan masalah mereka. Berita asal