Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar jumpa ketua pesuruhjaya SPRM Isnin ini
Diterbitkan:  Mar 20, 2021 8:10 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim akan bertemu dengan ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada hari Isnin.

Ketua pembangkang itu memberitahu wartawan hari ini bahawa Azam telah bersetuju untuk menemuinya pada jam 3 petang.

"Saya akan bawa beberapa pandangan dari rakan-rakan dalam PKR dan Pakatan Harapan, tentang kebimbangan kita dalam menyokong SPRM sebagai badan profesional dan bebas.

"Ini juga bagi menzahirkan rasa gelisah kerana dipercayai oleh sebahagian kita dengan bukti-bukti bahawa agensi kerajaan dijadikan sebagai senjata politik untuk tikam musuh (kerajaan)," katanya kepada pemberita di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

Anwar meminta pertemuan itu setelah lima anggota parlimen PKR mengaku telah ditawarkan sogokan untuk lompat parti.

Terdapat juga tuduhan bahawa Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar berpaling tadah dari PKR kerana tekanan melalui siasatan SPRM terhadapnya.

Xavier bagaimanapun berkata dia beralih sokongan kepada PN adalah untuk memastikan bahawa kerajaan tetap stabil dan untuk mengelakkan pilihan raya.

Dua ahli parlimen PKR yang lain juga lompat parti bulan ini, dengan anggota parlimen Tebrau Steven Choong mendakwa bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassn telah menjanjikannya jawatan rasmi untuk mendapatkan kesetiaannya.

SPRM sebelum ini menolak tuduhan PH yang mengatakan suruhanjaya antirasuah itu digunakan sebagai "senjata politik" PN.

Lihat Komen
ADS