Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aktivis dakwa kuari ancam Gunung Baling, MB pertikai motif 'bising'

Sebuah kuari baru di Gunung Baling, Kedah didakwa memulakan operasi minggu lalu meskipun Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) menyatakan beberapa masalah utama berhubung projek tersebut, kata aktivis Sahabat Alam Sik (SAS) Mohd Sobri Ramlee.

Katanya antara isu utama ialah, kuari berkenaan terletak hanya 900m dari kawasan perumahan sedangkan kedua-dua kawasan itu sepatutnya dipisahkan zon penampan sejauh 3km.

Bercakap kepada Malaysiakini Mohd Sobri berkata kuari baru itu juga dijangka dapat beroperasi selama 149 tahun.

Dalam keadaan begitu katanya operasi tersebut bukan saja akan menggangu penduduk desa yang tinggal di sekitar Gunung Baling malah memusnahkan biodiversiti persekitaran.

Sebagai perbandingan, kuari Bukit Puyuh yang berdekatan juga beroperasi selama kira-kira 30 tahun sebelum dihentikan Mukhriz Mahathir ketika dia menjadi menteri besar Kedah.

Sobri juga terlibat dalam kempen penutupan operasi kuari itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu Malaysiakini tiada lesen baru diluluskan di Gunung Baling sebaliknya kawasan itu hanya ada kuari batu kapur lama yang wujud sejak 1980-an.

Minta dengar rintihan rakyat

Sanusi juga mendakwa, individu yang cuba mengetengahkan isu berkenaan bukan hanya seorang aktivis alam sekitar namun dilihat mempunyai kaitan politik.

“Dari dulu dok meletup, kenapa sekarang baru nak bising?

“Saja nak cipta persepsi buruk kepada kerajaan hari ini. Kita kenal mereka itu siapa,” katanya kepada Malaysiakini menerusi aplikasi WhatsApp.

Untuk rekod pada 2019 - semasa Mukhriz menjadi menteri besar - Sanusi menyuarakan sokongannya ke atas cadangan pembangunan Gunung Baling sebagai kawasan ekopelancongan dan mengelakkan ia dimusnahkan oleh kuari baru.

Menerusi video berdurasi satu minit di akaun Facebook, Sanusi dilihat berdiri di belakang Gunung Baling dan Gunung Pulai sambil menyatakan keperluan untuk memulihara dan menjaga kawasan persekitaran tersebut.

“Saya sangat harapkan kerajaan negeri dengar rintihan orang Baling. Janganlah dimusnahkan dengan kuari baru,” katanya pada waktu itu.

Sobri berkata, hasil lawatannya ke kawasan tersebut penduduk kampung memberitahunya kini terdapat aktiviti letupan kuari sejak pertengahan minggu lalu.

Dia juga mendakwa, status tanah di kawasan itu belum berubah menjadi zon untuk kegiatan penggalian dan kuari.

“Jika mereka teruskan dengan kuari ini, kesan buruk akan menimpa penduduk dan warisan semula jadi tempat ini.

“Jika mereka teruskan kuari ini, maka tiada lagi Gunung Baling,”tambahnya.

Mengulas lanjut, Sobri menjelaskan, dia akan membangkitkan isu berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana percaya laporan terdahulu EIA ada menyatakan kuari tersebut tidak mematuhi peraturan alam sekitar.

Tambahnya, penduduk kampung juga berhasrat untuk mengadakan protes bagi menghentikan proses operasi kuari tersebut.

Ini bukan kali pertama penduduk di kawasan itu melakukan protes membantah kuari. Pada 2019 mereka menghalang projek kuari di Gunung Pulai yang terletak di sebelah Gunung Baling.

Aktiviti kuari di Gunung Pulai akhirnya terhenti selepas kerajaan negeri pada ketika itu berhasrat untuk menjadikan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan selepas penemuan artifak sejarah pada Jan 2020.

Ini juga bukan kali pertama Sanusi berdepan masalah alam sekitar setelah mentadbir kerajaan negeri hasil jatuhnya Pakatan Harapan (PH).

Awal bulan ini Sanusi berkata Kedah tidak memberi kelulusan baru berhubung pembalakan sejak dia menjaga pentadbiran negeri bermula Mei 2020.

Dia berkata demikian susulan dakwaan kerajaan negeri bersetuju dengan aktiviti pembalakan di kawasan seluas 200 hektar di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Sanusi menambah kelulusan pembalakan di Bukit Enggang diberikan kepada Yayasan Islam Kedah pada 2017 namun lesen pembalakan hanya diberikan kepada mereka akhir tahun lalu.

Hujung tahun lalu juga kerajaan Kedah pimpinan PAS menerima kritikan daripada MIC kerana memberi izin kepada syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur untuk mencari dan mengambil unsur-unsur nadir bumi di negeri terbabit yang didakwa bernilai RM62 bilion.

Susulan isu peroboh kuil oleh kerajaan Kedah juga Presiden MIC SA Vigneswaran berjanji untuk berdepan dengan Sanusi - terutama berhubung isu eksploitasi penemuan mineral unsur nadir bumi (REE).

“Oleh kerana kerajaan negeri menandatangani perjanjian dengan syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan China, saya ingin bertanya berapa peratus (keuntungan) yang akan diperoleh Kedah?

“Saya difahamkan syarikat hanya tawarkan kerajaan negeri 10 peratus. Jika benar, ia satu perjanjian bodoh.

"Jadi saya gesa kerajaan persekutuan untuk tidak mengeluarkan permit sehingga itu dapat diselesaikan,” kata Vigneswaran pada ketika itu.

Lihat Komen
ADS