Ahli politik, orang ramai mesti sokong Abdul Hamid - Pejuang Muda
Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda) menggesa semua ahli parlimen menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, yang kini berusaha memerangi kartel tertentu dalam pasukan keselamatan itu.
Ketuanya, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata ini kerana apa yang bakal dilalui oleh ketua polis negara itu bukanlah sesuatu yang mudah dan dia bakal berdepan laluan sukar.
"Apa yang didedahkan oleh Abdul Hamid dalam sidang medianya pada 22 Mac lalu dan beberapa siri program bual bicara sebelumnya bukanlah satu perkara baru dan tidak juga mengejutkan.
"Dan dalam sebuah kerajaan yang tidak mementingkan integriti dan prinsip yang mulia seperti Perikatan Nasional (PN), Pejuang Muda Malaysia menjangkakan bahawa usaha beliau bakal berdepan laluan yang tidak mudah.
"Oleh itu, sokongan ahli-ahli politik dan seluruh rakyat Malaysia untuk Abdul Hamid meneruskan usaha beliau itu dalam PDRM diperlukan supaya watak seperti beliau tidak disingkirkan atau diketepikan sewenang-wenangnya," kata Abu Hafiz dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 Mac lalu Abdul Hamid membuat pendedahan yang mengejutkan ramai orang apabila mendakwa ada sekumpulan "pegawai muda" sedang bergerak untuk menjatuhkannya.
Kata bekas pegawai kanan cawangan khas itu, kegiatan mereka itu didorong oleh kepentingan peribadi. Bagaimanapun Abdul Hamid tidak mendedahkan siapa yang dimaksudkan berada dalam "kartel" tersebut.
Ucap tahniah, titip doa
Dia juga tidak bercadang untuk mendedahkan kumpulan tersebut serta yakin ia masih terkawal.
Beberapa pemimpin politik pembangkang dan Badan Peguam Malaysia pula menggesa agar suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu kerana ia dianggap serius.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkara tiada keperluan untuk RCI ditubuhkan.
Kata Takiyuddin, ia merupakan masalah dalaman yang hanya perlu dikendalikan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Untuk rekod Abdul Hamid adalah pegawai kanan dalam PDRM yang membuat pendedahan berhubung apa yang berlaku dalam kerajaan semasa BN berkuasa di Putrajaya dan kebanyakan negeri sebelum PRU 2018.

Tindakannya itu kemudian menyaksikan dia diarah berpindah tugas, daripada menjadi Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM ke Jabatan Perdana Menteri pada Ogos 2015. Tiada alasan jelas dinyatakan atas arahan berkenaan namun dipercayai ada kaitan dengan skandal 1MDB.
Sebelum itu dia membuat kenyataan bahawa ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama ketika pihak berkuasa menyiasat kes membabitkan syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu.
Abdul Hamid juga pernah dilabel sebagai musuh negara oleh pihak tertentu. Dia kemudian bersara dan pulang ke kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan untuk menjadi petani.
Namun selepas Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat untuk menjadi kerajaan, Abdul Hamid dipanggil semula untuk berkhidmat dalam PDRM.
Ketika ini Abdul Hamid adalah segelintir pegawai kanan kerajaan yang dilantik PH masih meneruskan khidmat di bawah Perikatan Nasional.
Kata Abu Hafiz Pejuang Muda mengucapkan tahniah kepada Abdul Hamid atas keberanian yang ditunjukkannya selama ini dan menitipkan doa kepadanya.
"Kami mengucapkan syabas kepada Abdul Hamid atas keberaniannya dan berdoa kepada Allah SWT agar dimudahkan usaha murni yang dicita-citakan beliau, serta diberikan perlindungan dalam usaha mengembalikan maruah PDRM yang dicemarkan oleh sebilangan kecil anggota pasukan itu," katanya.

