PKR: Alasan Azmin tentang pelaburan asing tak munasabah
PKR menyelar kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali yang menafikan negara kehilangan pelaburan asing daripada perbadanan multinasional (MNC) kepada negara-negara jiran.
Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung menyifatkan alasan Azmin bahawa negara ini bersikap “lebih selektif” dalam menarik pelaburan asing yang berkualiti sebagai tidak munasabah.
Sedangkan katanya, negara-negara jiran seperti Singapura yang berpendapatan tinggi serta Vietnam dan Indonesia yang berpendapatan sederhana terus mendapat pelaburan yang kukuh.
"Pada tahun 2019, ketiga-tiga negara tersebut menerima lebih daripada 80 peratus aliran masuk pelaburan langsung asing ke Asia Tenggara.
"Pada tahun lalu dengan cabaran kesihatan sedunia dan ekonomi, Singapura berjaya mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing sebanyak AS$ 58 bilion iaitu 23.2 kali ganda lebih banyak daripda Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Lee memetik contoh penutupan operasi beberapa MNC di negara ini seperti IBM (31 Mei 2021) dan T-Systems (Nov 2020) yang menyebabkan kehilangan pekerjaan buat ramai pekerja.
“Kenapa ketika Azmin tengah bicarakan pelaburan berkualiti, tetapi MNC yang berkualiti memilih untuk meninggalkan Malaysia?

“Lebih malang lagi sehingga ke hari ini, tiada sebarang penjelasan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai sebab atau alasan syarikat MNC meninggalkan Malaysia dan juga mengumumkan cara penyelesaian untuk mengatasi masalah ini kepada orang ramai,” katanya.
Lee yang memetik laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) berkata pelaburan asing ke Malaysia menjunam 68 peratus kepada hanya AS$2.5 bilion pada 2020.
“Ia menjadikan negara Malaysia mencatat prestasi yang terburuk di rantau Asia Tenggara.
“Penafian Azmin dan kerajaan PN tidak akan membantu kerajaan mengakui kelemahan struktur yang sedia ada seperti yang telah diketengahkan oleh Bank Dunia baru-baru ini serta mengenal pasti peluang pertumbuhan baru untuk mendorong negara ke tahap yang berikutnya,” kata Lee lagi.
Semalam, Azmin dilapor menafikan dakwaan kehilangan pelaburan asing ke negara jiran, dengan alasan negara kini sedang mengamalkan sikap selektif bagi menarik pelaburan berkualiti.
Azmin juga berkata dakwaan bahawa MNC-MNC besar lari atau mengelak untuk melabur di Malaysia, bukanlah satu gambaran yang tepat.

