Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ejen insurans dapat kebenaran mahkamah cabar pengislamannya

Seorang ejen insurans berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk meneruskan cabaran undang-undang terhadap penukaran agama secara sepihak terhadap dirinya kepada Islam ketika kanak-kanak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan wanita berusia 40 tahun itu untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan penukaran agama yang dibuat oleh bapanya yang memeluk Islam.

Ia selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa menolak membenarkannya menggugurkan agama Islam daripada kad pengenalannya.

Dia berkata bapanya secara sepihak menukar agamanya kepada Islam ketika dia berusia 10 tahun, tanpa kebenaran ibunya yang beragama Buddha.

Ibu dan bapanya bercerai tidak lama selepas penukaran agamanya, yang didaftarkan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 1990.

Pihak terlibat dalam kes ini dimaklumkan mengenai keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya itu menerusi emel.

Peguam persekutuan kanan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mengesahkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya memberikan kebenaran kepada wanita itu untuk meneruskan semakan kehakiman berkenaan.

“Kebenaran telah diberikan. Pengurusan kes yang seterusnya (untuk semakan kehakiman) adalah pada 8 April,” katanya.

Peguam persekutuan kanan itu adalah dari Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili tiga responden dalam urusan berkenaan.

Responden terlibat ialah ketua pengarah JPN, kerajaan Malaysia, dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Dengan kebenaran berkenaan, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar hujahan daripada pihak terlibat mengenai semakan kehakiman berkenaan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pasukan peguam wanita berkenaan.

Dilahirkan di Singapura pada 1980, ejen insurans itu, yang kini tinggal bersama ibunya di Kuala Lumpur, berkata dia tidak pernah mengamalkan agama Islam, sebaliknya mengikut ajaran Buddha.

Dia mendakwa pada Ogos tahun lepas, seorang pegawai pejabat JPN di Ipoh, Perak, enggan memproses permohonan untuk menukar kembali namanya ke nama asal bukan Islamnya, dan untuk menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Pegawai itu dikatakan memintanya untuk mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah sebelum JPN boleh memproses permohonan berkenaan.

Selepas JPN dikatakan enggan patuh kepada surat tuntutan yang dihantar peguamnya, pasukan peguamnya memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lepas.

Dia meminta beberapa pengisytiharan mahkamah, antaranya bahawa dia merupakan penganut dan pengamal agama Buddha.

Dia meminta perintah mandamus (perintah kehakiman ke atas seseorang untuk menjalankan tugas awam atau tugas berkanunnya) untuk mengarahkan ketua pengarah JPN mengeluarkan MyKad baru yang mengandungi nama asal bukan Islamnya, serta tanpa perkataan "Islam".

Dia juga meminta perintah mandamus terhadap kerajaan Malaysia bagi memastikan ketua pengarah JPN patuh terhadap perintah mahkamah berkenaan.

Dia turut meminta perintah sama untuk mengarahkan Mais mengeluarkan namanya daripada Daftar Muallaf, serta membatalkan kad penukaran agama Islam yang dikeluarkan atas namanya bertarikh Oktober 1990.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tiga responden tersebut membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh wanita berkenaan.

Antaranya, mereka memetik alasan bahawa tindakan perundakan mestilah difailkan dalam tempoh tiga bulan selepas penukaran agamanya, yang berlaku pada 4 Okt 1990. 

ADS